Jumaat, 27 Ogos 2010

Program Berbuka Puasa dan Tahlil Arwah MPN

27 Ogos 2010, Nilai : Sekali lagi majlis berbuka puasa telah diadakan buat kali ketiga bagi tahun 2010 oleh Jabatan Undang-Undang & Penguatkuasaan (JUUP) Majlis Perbandaran Nilai (MPN). Namun, kali ini majlis turut dimuatkan dengan acara tahlil arwah dan doa selamat khusus buat ahli keluarga kakitangan MPN yang telah kembali ke rahmatullah.
.
Program telah bermula dengan majlis berbuka puasa pada jam 7.21 malam bertempat di kantin MPN. Dan seperti biasa diteruskan kemudiannya dengan acara tahlil arwah yang dikhususkan buat ahli keluarga kakitangan MPN yang telah meninggal dunia. Seramai 264 nama yang telah dihajatkan untuk majlis doa selamat ini.
.
Sebaik sahaja selesai tahlil dan doa selamat, majlis diteruskan dengan Solat Isya', Solat Tarawih dan Solat Witir secara berjemaah yang telah dipimpin oleh En Syamsul Amri bin Hj Ismail, Pengarah JUUP MPN.
.
Program ini telah disertai kira-kira 35 orang kakitangan MPN. Program ini akan diadakan sekali lagi pada 3 September 2010 iaitu kira-kira 6 hari sebelum Aidil Fitri. Alhamdulillah kelihatan program keagamaan seperti ini sudah mula mendapat sambutan di kalangan kakitangan Majlis Perbandaran Nilai.
.
Syabas dan Tahniah diucapkan buat semua yang terlibat menjayakan program ini.
.
Suasana ketika tahlil bermula dengan dipimpin oleh PUU
Di antara jemaah yang hadir
Semua kelihatan khusyuk dan tenang ketika sama-sama menyertai tahlil
Tahlil ditujukan buat 264 nama yang disenaraikan dijalankan secara tertib dan teratur
Di antara jemaah wanita yang hadir
Berzikir, bertahlil dengan memanjat setinggi-tinggi pujian buat Allah SWT Mengaminkan bacaan doa yang dibacakan oleh En Syamsul
Doa dihayati dengan mendalam oleh kesemua jemaah yang hadir
Mengharapkan agar doa ini diterima Allah SWT
Ini nak sembahyang ke nak apa nih?????

Inilah suasana sebelum bermulanya Solat Isya' yang dipimpin oleh En Syamsul Amri
.
.
Disediakan oleh : EDITOR

Apa Yang Anda Fahami Dengan Nuzul Qur'an? - PUU

Assalamualaikum semua...
.
Bertemu lagi kita menerusi ruang penulisan saya sekali lagi. Kali ini berkisar tentang Hari ini iaitu 17 Ramadhan 1431 Hijrah. hari ini 17 Ramadhan yang mana tersimpan disebaliknya peristiwa yang amat besar buat Umat Islam yakni Nuzul Qur’an. Maka demikianlah hari ini saya ingin berkongsi dengan kalian semua berkaitan Nuzul Qur’an.
.
NUZUL QUR'AN
.
Sejarah al-Quran: Antara peristiwa agung dalam sejarah umat Islam ialah turunnya kitab suci al-Quran atau disebut Nuzul al-Quran. Ia dirakamkan dalam al-Quran, melalui firman Allah yang bermaksud:
.
“Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekelian manusia, dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dan yang salah.” (Surah al-Baqarah, ayat 185)
.
Sejarah al-Quran: Antara peristiwa agung dalam sejarah umat Islam ialah turunnya kitab suci al-Quran atau disebut Nuzul al-Quran. Ia dirakamkan dalam al-Quran, melalui firman Allah yang bermaksud:
.
“Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekelian manusia, dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dan yang salah.” (Surah al-Baqarah, ayat 185)
.
Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, di Gua Hira’ tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad SAW. Al-Quran merupakan mukjizat yang paling besar yang dikurniakan kepada Nabi saw. Kita hendaklah beriman dan mempercayai isi kandungan al-Quran. Beriman dengan al-Quran merupakan salah satu dalam Rukun Iman.
.
Erti Nuzul al-Quran: ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah, iaitu berpindah dari tempat sebelah atas ke tempat di sebelah bawah. ‘Al-Quran’ pula bermaksud bacaan atau himpunan. Ia dikatakan sebagai bacaan kerana al-Quran itu untuk dibaca oleh manusia. Ia juga dikatakan himpunan kerana dalam al-Quran itu terhimpun ayat-ayat yang menjelaskan pelbagai perkara yang meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, munakahat dan sebagainya.
.
Nama-Nama Lain: Selain disebut al-Quran, ia juga disebut al-Kitab, al-Furqan, An-Nur, al-Zikr dan lain-lain.
.
Proses Penurunan al-Quran: Al-Quran diturunkan beransur-ansur dalam masa 22 tahun 2 bulan 22 hari (23 tahun).13 tahun di Makkah dan 10 tahun di Madinah.
.
Kehebatan al-Quran:
.
Allah berfirman yang bermaksud: “Katakanlah wahai Muhammad, sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan sebanding dengannya walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri.” (Surah al-Israa’, ayat 88)
.
Orang yang membaca, menghafaz dan melihat sambil memikirkan keajaiban yang ada pada susunannya diberikan pahala.
.
Al-Quran sumber hidayah bagi kebahagiaan hidup manusia di dunia dan di akhirat.
Tidak sesiapa pun sama ada di kalangan manusia atau jin yang mampu mencipta ayat yang menyerupai al-Quran. Firman Allah yang bermaksud: “dan jika kamu merasa ragu-ragu dengan apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami, bawalah satu surah yang seumpamanya, ajaklah saksi-saksi (penolong-penolong) kamu, selain Allah, sekiranya kamu (di kalangan) orang yang benar.” (al-Baqarah, ayat 23).
.
Al-Quran merupakan mukjizat tertinggi dan teristimewa yang hanya dikurniakan kepada Nabi SAW.
.
Manusia belum mampu menyelami dan menerokai rahsia al-Quran secara menyeluruh sehingga hari ini. Ini bererti sifat kehebatan, kesaktian, keagungan dan keunggulan al-Quran secara tersendiri dengan pengertiannya yang amat luas dan mendalam kekal terpelihara hingga kiamat.
.
Al-Quran sebagai petunjuk jalan kebenaran. Membawa manusia daripada kegelapan kepada cahaya yang terang. Allah berfirman yang bermaksud: “Inilah Kitab yang tiada keraguan padanya, menjadi petunjuk kepada orang yang bertakwa.” (al-Baqarah, ayat 2)
.
Membaca al-Quran mendapat ganjaran pahala dan syafaat daripada Allah. Rasulullah SAW bersabda dengan maksud: "Bacalah al-Quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya.”
.
Tuntutan al-Quran: Sesungguhnya al-Quran mempunyai tiga hak yang wajib ke atas umat Islam untuk menunaikannya.
.
1. Hak untuk membaca dan bertilawah kepadanya.
2. Hak untuk bertakbir atau memahami makna dan menjiwai kehidupan.
3. Hak untuk beramal dengan seluruh isi kandungannya.
.
Harapan kita semua agar selepas ini kita benar-benar menghargai Qur'an dan bukan hanya disimpan sebagai perhiasan semata-mata... Insya Allah.
.
Disediakan oleh

.
.
.
.
.
.
.
Syamsul Amri bin Hj Ismail
Pengarah
Jabatan Undang-Undang & Penguatkuasaan
Majlis Perbandaran Nilai (MPN)

Ahad, 22 Ogos 2010

Majlis Berbuka Puasa & Solat Sunat Tarawih MPN

20 Ogos 2010, Nilai : Jabatan Undang-Undang Majlis Perbandaran Nilai (MPN) telah mengadakan majlis berbuka puasa dan Solat Tarawih buat kali kedua bulan Ramadhan ini bertempat di Surau MPN. Program ini disertai oleh 30 orang kakitangan Jabatan Undang-Undang, MPN.
.
Majlis dimulakan dengan majlis berbuka puasa bertempat di kantin MPN dengan bermenukan buah kurma, kuih serta air. Jamuan makanan berat hanya disediakan sebaik selesai Solat Maghrib.
.
Solat Maghrib telah diketuai oleh En Syamsul Amri bin Hj Ismail, Pengarah Undang-Undang MPN.
.
Sebaik sahaja selesai Solat Maghrib kesemua yang hadir telah menikmati jamuan makan malam bertempat di Kantin MPN. Jamuan makan malam benar-benar menyelerakan kesemua yang hadir dengan menu ayam masak lemak cili api, ikan masin bulu ayam, sayur campur, air sirap serta air teh o.
.
Apabila masuk sahaja waktu Isya' kesemua yang hadir telah menuju ke surau untuk bersolat jemaah yang mana kemudiannya diteruskan dengan acara solat sunat Tarawih yang sekali lagi dipimpin oleh En Syamsul.
.
Berikut dikongsikan beberapa gambar yang telah sempat dirakamkan.
.
Kelihatan En Syamsul (baju merah) ketika memimpin wirid selepas solat Maghrib Aikk... Ahmad Sarkawee ni.... doa ke apa?? Kesemua jemaah mengikuti wirid dengan khusyuk
Hanis, bekas kakitangan MPN yang juga merupakan suami kepada Pn Nurhashimah (Pembantu Tadbir Undang-Undang) yang turut sama hadir
Tinggi betul tangan Rusyduddin ketika berdoa!!
Kelihatan sama En Razali Ismail yang turut sama hadir ke program ini
Suasana ketika makan malam
Sharulnizam yang hadir bersama isteri
Berselera betul nampaknya! Zamri, Fazail, Noorzaidi, Nazir dan Hamizi makan bersama
En Syamsul bersama isteri dan anaknya
Nurhafiz, Zaidi, Halim dan Hasnor
.
.
.
Disediakan oleh : EDITOR

Rabu, 18 Ogos 2010

Majlis Penyerahan CF dan Kunci Tmn Seri Anggerik, Rantau

19 Ogos 2010, Rantau : Seramai 35 orang pembeli rumah di Taman Seri Anggerik, Rantau yang telah sekian lama menderita ekoran rumah mereka tidak boleh didiami ekoran tiada sijil kelayakan menduduki (CF) akhirnya boleh menarik nafas lega apabila rumah yang mereka nantikan ini telah sedia untuk diduduki. Rumah mereka kini telah siap sepenuhnya. Terima kasih di atas inisiatif dan usaha oleh Kerajaan Negeri bersama-sama dengan Majlis Perbandaran Nilai (MPN) terutamanya bagi menjadikan hasrat penduduk untuk menduduki rumah mereka menjadi suatu realiti.
.
Majlis penyampaian kunci serta CF ini telah disempurnakan oleh YAB Dato' Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan Darul Khusus. Majlis berlangsung mulai jam 12.30 tengahari.
.
Turut sama hadir ke majlis penyerahan kunci dan sijil kelayakan menduduki ini adalah YM Raja Datin Seri Salbiah binti Tengku Nujumudin iaitu isteri YAB Menteri Besar, YB Tuan Hj Khairy Jamaludin Abu Bakar (Ahli Parlimen Rembau) dan juga YBhg Dato' Hj Abd Halim bin Hj Abd Latif, Yang DiPertua Majlis Perbandaran Nilai.
.
Di dalam ucapannya YAB Dato' Seri Utama menyatakan bahawa beliau berharap agar penduduk akan menjaga sebaiknya rumah yang telah mereka miliki ini sebaiknya serta menghargai setiap usaha kerajaan bagi menjadikan impian mereka menjadi suatu relaiti ini. Pelbagai usaha dirangka oleh kerajaan bagi membantu rakyat dan ini sudah pasti selaras dengan slogan 1Malaysia "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan". YAB Dato' Seri Utama turut memuji usaha 'luarbiasa' YBhg Dato Hj Abd Halim yang telah mampu menyiapkan keperluan-keperluan teknikal projek perumahan terbengkalai ini yang terhenti sejak tahun 2003. Beliau memuji usaha Dato' Halim yang disifatkannya sebagai 'magic' kerana mampu menyudahkan projek ini dengan pantas dan memuaskan.
.
YAB Menteri Besar turut menyatakan bahawa ini sekali lagi membuktikan bahawa kerajaan Barisan Nasional tidak pernah lupa pada janji yang telah dibuat pada rakyat di mana sepertimana pada majlis pertemuan bersama pembeli pada 6 Julai 2010 yang lalu beliau telah berjanji bahawa MPN akan memastikan yang rumah kesemua pembeli ini akan boleh diduduki sebelum Aidil Fitri tahun ini. Dan akhirnya ia dikotakan dimana rumah ini telah pun boleh diduduki mulai hari ini walaupun baru masuk minggu kedua umat Islam berpuasa.
.
Tahniah diucapkan buat Kerajaan Negeri dan Majlis Perbandaran Nilai di atas usaha gigih membantu menyelesaikan permasalahan rakyat ini.
.
Suasana pentas utama yang telah siap tersedia untuk melangsungkan majlis penyerahan kunci serta sijil kelayakan menduduki (CF)Kelihatan Wahida bertindak selaku pengacara majlis
Di antara orang ramai dan penerima kunci yang hadir ke majlis ini
Dari kiri; YB Tn Hj Khairy Jamaludin, YAB Dato Seri Utama Hj Mohamad, YM Raja Datn Seri Salbiah dan YBhg Dato' Hj Abd Halim
Safwan bin Ahmad memimpin bacaan doa
YAB Menteri Besar menyampaikan ucapan berupa amanat kepada semua yang hadir
Suasana di bawah khemah ketika mendengar ucapan
Ucapan YAB Menteri Besar mengingatkan semua pembeli agar jangan lupa berterima kasih kepada kerajaan


Di antara pembeli yang menerima kunci







YAB Dato' Seri Utama Menteri Besar menerima cenderahati daripada YBhg Dato' Hj Abd Halim
Bergambar bersama kesemua pembeli sambil menunjukkan CF yang baru diperolehi

Suasana ceria jelas terpancar di wajah kesemua pembeli
.
.
.
Disediakan oleh : EDITOR

Ahad, 15 Ogos 2010

Majlis Berbuka Puasa dan Solat Sunat Tarawih di MPN

13 Ogos 2010, Nilai : Satu Majlis Berbuka Puasa dan Solat Sunat Tarawih telah dianjurkan oleh Jabatan Undang-Undang & Penguatkuasaan, MPN. Majlis ini telah dimulakan dengan majlis berbuka puasa bertempat di sebuah restoran di Bandar Baru Nilai. Majlis berbuka puasa ini telah berlangsung dengan lancar yang mana kemudiannya bersambung dengan acara Solat Maghrib secara berjemaah.
.
Sdr Jelani Rashik telah bertindak selaku Bilal bagi program ini. Solat Maghrib telah diimamkan oleh En Syamsul Amri Ismail, Pengarah Jabatan Undang-Undang & Penguatkuasaan MPN. Solat Maghrib telah dijalankan di Surau MPN. Sebaik sahaja selesai Solat Maghrib, kesemua yang hadir berehat seketika sementara menanti ketibaan waktu Isya'
.
Masuk sahaja waktu Isya' Sdr Jelani terus melaungkan seruan azan. Sekali lagi En Syamsul mengimamkan Solat Isya' dan seterusnya Solat Sunat Tarawih dan Witir. Majlis telah menjalankan sebanyak 10 rakaat bagi Solat Tarawih dan 3 rakaat Solat Witir.
.
Sebaik selesai solat sunat Witir, iaitu pada kira-kira jam 9.30 malam, kesemua yang hadir telah menikmati jamuan ringan berupa hidangan kuih karipap dan tepung pelita berserta air teh dan teh o yang benar-benar membuka selera semua yang hadir.
.
Alhamdulillah, program telah berjalan dengan lancar serta suasana yang cukup ceria. Program ini akan diteruskan pada setiap hari jumaat malam Sabtu di sepanjang bulan Ramadhan ini. Kepada semua kakitangan MPN yang berminat, bolehlah menyertai program ini.
.

Suasana ceria ketika bersedia untuk berbuka puasa
Kelihatan semua hidangan telah pun siap tersedia
Kelihatan sebahagian daripada anggota penguatkuasa yang menyertai majlis berbuka puasa Zaidi dan Raja Hafis ketika menanti waktu berbuka puasa tiba Hidangan ayam kampung goreng yang lazat dan menyelerakan
Telur dadar Gulai masak lemak pucuk paku campur dengan cendawan
.
.
.
Disediakan oleh : EDITOR