22 Mac 2011, Satu Majlis Perdana Perkhidmatan Awam kali ke 12 (MAPPA XII) telah berlangsung Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Majlis tahunan yang membabitkan ucaptama serta amanat YAB Perdana Menteri kepada Penjawat-Penjawat Awam seluruh Malaysia ini telah berlangsung mulai jam 9.00 pagi hinggalah ke jam 12.00 tengahari.
.
Melalui majlis ini Tan Sri Sidek Hassan, Ketua Setiausaha Negara (KSN) telah memulakan majlis dengan ucapan alu-aluan mengalu-alukan kehadiran YAB Dato' Sri Mohd Najib bin Tun Abd Razak bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin ke MAPPA XII ini. Menerusi ucapannya beliau memaklumkan bahawa majlis ini adalah untuk merealisasikan aspirasi serta hubungan baik antara Kerajaan dengan penjawat-penjawat awam.
.
Beliau turut mengharapkan agar kakitangan awam akan sentiasa pragmatik, dan realistik dan sentiasa memajukan kualiti perkhidmatan di tahap yang terbaik seperti kata-kata, "belum panggil dah datang, belum suruh dah pergi, belum minta dah beri, belum tanya dah jawab". Penjawat awam perlu sentiasa mempertingkatkan daya saing serta mengutamakan pencapaian berbanding tradisi.
.
Beliau menyeru agar penjawat-penjawat awam agar bersama-sama menyingsing lengan, mengotorkan tangan, bergotong royong di dalam menjayakan segenap agenda agensi kerajaan.
.
Seterusnya, ketika menyampaikan ucapan berupa amanat, YAB Perdana Menteri menyampaikan perkara-perkara berikut:
.
* Syabas di atas usaha kakitangan di dalam menjayakan setiap dasar kerajaan.
* Segala tindakan pemimpin terdahulu sangat tepat dan ini boleh diukur menerusi pembangunan pesat negara sejak dahulu hingga ke saat ini.
* Kita mengamalkan Demokrasi yang sentiasa subur di negara ini dengan mengambil kira maksud Demokrasi yang berasal dari perkataan greek "Demos" dan "Kratos" yang bermakusd Rakyat dan Kuasa. Makna kata rakyat berkuasa menentukan halatuju politik negara menerusi undi pilihanraya. Namun, baiknya kerajaan Malaysia, kita tidak pernah memaksa rakyat hatta kita tidak pun memaksa rakyat mendaftar selaku pengundi, sepertimana yang dilakukan di beberapa buah negara.
* Namun begitu kita perlu sedar betapa tanggungjawab mengundi merupakan satu tanggungjawab tertinggi dan paling penting di dalam mengangkat taraf kewarganegaraan.
* Kriteria memilih pastinya merujuk kepada ideologi, manifesto, halatuju negara samada jangka pendek, jangka sederhana mahupun jangka panjang.
* Janganlah didengar cakap-cakap pedagang impian yang melakar janji ibarat menanam tebu di tepi bibir. Berjanji seolah-olah ada "tempurung emas di kaki pelagi".
* Kita melihat apabila kerajaan berjanji sesuatu kita akan berusaha melaksanakan sedaya mungkin. Malah kita sebelum berjanji kita memastikan kita menyatakan janji yang mampu kita kotakan dan bersifat realistik.
* Pihak yang tidak bertanggungjawab berjanji mahupun ia bakal mengakibatkan ekonomi negara menjadi bankrap. Kita tidak mahu negara bergantung kepada ihsan Institusi Kewangan Antarabangsa (IMF) sepertimana beberapa buah negara lain di dunia.
* Kita tidak akan membenarkan negara menjadi negara yang 'gagal' di pentas dunia.
* Kita sentiasa melaksanakan dasar me'rasional' subsidi. Kita tidak boleh memberikan subsidi secara pukul rata tanpa meneliti dan menilai kemampuan sebenar kita.
* Janganlah kita mengemukakan pelan tanpa menjelaskan kos sebenar daripada perlaksanaan pelan tersebut.
* Dan janganlah kita mempertaruhkan masa hadapan negara kita ke tangan mereka yang tidak bertanggungjawab bak kata pepatah "Kalau mencari tempat berlabuh pertama teluk, kedua tanjung, dan kalau mencari tempat berteduh pertama kukuh, kedua menguntung".
* Ini bukannya masa untuk mencuba-cuba atau bereksperimen, tetapi, inilah masanya kita untuk berpegang teguh dan setia kepada kerajaan.
* Perancangan hanya akan tinggal perancangan jika penjawat awam tidak sama-sama melaksanakan dasar-dasar dan program yang disediakan.
* Pelbagai perubahan dan pembaharuan telah kita laksanakan. Usaha sejak tahun 1955 hinggalah ke 10 Rancangan Malaysia, Model Baru Ekonomi dengan 8 inisiatif strategik, NKRA dan NKEA dan sebagainya merupakan usaha berterusan. Usaha dan dasar ini bukan hanya tempelan tetapi plan lengkap berserta struktur.
* Usaha yang bakal memacu ekonomi negara dengan lancar supaya berupaya menjadi sebuah negara berprestasi tinggi pada tahun 2020.
* Perdana Menteri merayu semua anggota perkhidmatan awam melaksanakan tadbir urus dengan rapi.
* Dasar Kerajaan kini mementingkan "value management". Pengurusan nilai pula dititikberatkan bagi membawa pulangan kepada kerajaan. Pemilihan lokasi, rekayasa, rekabentuk juga berasaskan 'value management'.
* Bakat yang baik bukan hanya boleh digamit dengan ganjaran kewangan tetapi juga dengan mempertingkatkan tahap kerjaya setiap penjawat awam.
* Adalah perlu bagi kita mewujudkan organisasi berproduktiviti tinggi, digembleng sepenuhnya untuk mencapai matlamat organisasi.
* Penstrukturan semula organisasi agar tidak berlapis-lapis yang mengakibatkan semua pihak sibuk mempertahankan kepentingan sendiri semata-mata.
* Apa yang dicapai hari ini adalah rentetan usaha gigih penjawat awam. Semoga Allah memberi taufiq dan redhanya kepada penjawat awam di Malaysia ini.
* Sekian dan Wassalam.
.
Demikianlah isikandungan ucapan YAB Perdana Menteri buat semua penjawat awam di persidangan MAPPA XII ini.
.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan