Rabu, 6 Mei 2009

Selamat Hari Pekerja, Bersyukurlah ! - Oleh PUU




Assalamualaikum,


PENDAHULUAN


Rasanya masih belum terlewat buat saya mengucapkan Selamat Hari Pekerja buat semua bersempena sambutan Hari Pekerja yang telah berlangsung pada 1 Mei 2009 baru-baru ini. Di dalam suasana ekonomi yang membimbangkan hari ini (meskipun pelbagai rangsangan ekonomi diperkenalkan), kepada yang masih bekerja seolah tidak mampu lagi tersenyum seperti dahulu disebabkan oleh masalah ekonomi yang kian mendesak kehidupan masyarakat di Malaysia.

Kita dapat melihat betapa syarikat-syarikat yang dahulunya gagah perkasa di dalam mengendali aspek kewangan masing-masing kali ini benar-benar tewas dengan keadaan. Tidak ada apa yang mampu membendung asakan ini melainkan mereka yang opportunis dan sentiasa melihat peluang yang datang serta menggunapakai setiap situasi demi kelangsungan hidup (survival) dalam jangkamasa pendek dan panjang. Syarikat berasaskan Industri seperti syarikat-syarikat pengeluaran, kilang-kilang serta sektor pembuatan juga sudah mulai merasai penangan hebat kegawatan ekonomi yang melanda bukan hanya Malaysia tetapi seluruh dunia.

Inilah keadaannya pada hari ini. Tidaklah saya berhasrat untuk mengulas panjang berkenaan isu ekonomi ini, cuma satu yang ingin saya kongsi buat semua.... betapa sebenarnya manusia pada hari ini sebenarnya lupa untuk bersyukur. Mengapa saya katakan sedemikian, kerana sedarilah bahawa segala apa yang diturunkan ini datang daripada Allah. Dan segala apa yang diturunkan oleh Allah ini adalah untuk menguji sejauh mana ketahanan kita di dalam mempertahankan kepercayaan serta keyakinan terhadap rahmat Allah. Manusia pada hari ini asyik berbangga dengan kejayaan tanpa mensyukurinya, berbahagia dengan kesenangan tanpa mensyukurinya, bermegah dengan kemenangan dan kejayaan tanpa pernah terlintas olehnya juga untuk mensykuri atau dalam kata lainnya untuk berterima kasih di atas setiap kurniaan Allah kepada kita.

Oleh yang demikian, buat ruangan penulisan kali ini saya akan menulis tentang konsep "BERSYUKUR".

KONSEP BERSYUKUR

Saya ada menyatakan betapa ramainya manusia berbangga dengan kebolehan atau kedudukan yang dimiliki, tanpa menyedari bahawa kesemuanya itu tidaklah bersifat kekal. Saya memetik bagimana peristiwa yang berlaku sebelum ini yang pernah dilaporkan di dalam sebuah akhbar tempatan tentang seorang Pakar Cegah Penculikan AS yang diculik di Mexico. Felix Batista, 55 yang merupakan seorang pakar konsultan bagi mencegah penculikan akhirnya jatuh ke tangan penculik yang ternyata lebih hebat darinya.Bagaimanakah beliau akan membebaskan dirinya? hanya Allah yang tahu.
Pengajaran yang perlu kita ambil dari kisah ini adalah

Pertamanya; Jangan sombong dengan gelaran Profesional dan Pakar (termasuklah spt IR., Dr., AR. pakar silap mata, pakar urut dan yang seerti dengannya) kerana ada orang lain yang lebih bijak dan hebat dari kita.

Keduanya; Walaupun anda seorang yang pakar, namun tetap ada kelemahan yang mana Allah jualah Tuhan yang tiada kelemahan. sehebat mana sekalipun ilmu kita, pasti ada orang lain yang boleh mencabarnya kerana ilmu yang kita ada ini terlalu sedikit berbanding ilmu Allah.

Ketiganya; Bersyukurlah kita kerana Allah telah beri ilmu kepada anda, kerana tidak semua orang berpeluang mendapatnya. Gunakanlah ilmu itu untuk berbakti kepada manusia kerana Allah dan bukannya kerana wang, pangkat atau kemahsyuran.

Kepada insan lain yang tiada gelaran Profesional, jangan bimbang. Sesungguhnya anda juga seorang yang pakar. Pastinya anda juga mempunyai kelebihan yang unik atau kemampuan yang boleh dibanggakan.

Mungkin anda bukan seorang pakar perubatan, tetapi dengan senyuman yang ikhlas insyaAllah, anda adalah orang yang pakar dalam membahagiakan hidup anda dan menyembuhkan penyakit dengki orang lain melalui senyuman itu.
Mungkin Anda juga bukan seorang jurutera yang mampu bina bangunan tertinggi dunia, tapi yang pasti, anda adalah jurutera yang mampu membina diri dan roh anda untuk kebaikan dunia akhirat. Anda juga mungkin jurutera rumahtangga yang mampu bahagiakan isteri dan anak untuk lebih mencintai Allah.
Anda mungkin tidak berpeluang menjadi peguam dalam hidup ini, tapi janganlah risau. Berkat amal baik anda didunia, Insya Allah anda akan menjadi peguam yang hebat bila berhadapan dengan Allah kelak. Pastinya segala amalan baik itu akan menjadi bukti penguat hujah anda.Sesungguhnya menjadi pakar itu banyak cara, terpulang pada kita untuk menjadi pakar yang bagaimana.

MENGAPA KITA PERLU BERSYUKUR?

Saya menggariskan "6S" tentang sebab-musabab dan caranya untuk memastikan kita tidak lupa untuk bersyukur ke hadrat Allah di atas setiap apa yang kita perolehi dan kita capai.

S1 : SEMUANYA ADALAH PINJAMAN

Kesemua yang kita miliki di dalam dunia ini adalah pinjaman. Sebagai contoh, katakanlah kita dilantik sebagai pegawai kerajaan atau seorang eksekutif di mana-mana syarikat, yakin dan percayalah ini juga merupakan pinjaman. Tetapi kita dapat melihat, betapa ramainya manusia yang menganggap jawatan ini sebagai satu tiket untuk berlagak dan menyombong diri. Walhal kita perlu sedar bahawa jawatan itu akan hilang samada seseorang penjawat itu pencen, menerima tawaran bekerja di tempat lain, berhenti atau diberhentikan atau mati sebelum sempat berpencen atau sebelum tamat kontrak. Keempat-empat ini mungkin akan berlaku. Dan jika ia berlaku tidak bermakna jawatan itu akan dilupuskan malahan pengganti akan segera dicari bagi mengisi kekosongan jawatan itu, maka sahlah ia bukan hak kita untuk membangga diri.

Maka bersyukurlah kita dengan jawatan itu dan bukanlah dikendong perasaan riak, takabbur, sombong dan bongkak!

S2 : SEDAR DARI MANA KITA DATANG

Sebagai seorang manusia ramai yang menjadi lupa diri dan lupa untuk bersyukur kerana melupakan asal usulnya yang mungkin susah dahulunya, paling tidak pun keturunan keluarganya pernah melalui zaman kesusahan sebelumnya. Meskipun dinasihatkan ia tidak pernah diambil berat kerana dia tidak pernah melaluinya.

Perlunya, sebagai seorang manusia kita meneliti tiga perkara; Dari mana kita datang? Mengapa kita datang? Dan ke mana kita selepas ini? Dengan menjawab persoalan ini kita pasti akan menjadi seorang manusia yang sedar kita datang daripada keluarga mana, latarbelakang bagaimana , malahan yang paling penting kita wujud di atas muka bumi ini dengan izin Allah. Bukan dengan sendirinya. 
Mengapa kita datang? Tidak lain tidak bukan untuk beramal dan beribadat demi kebahagiaan abadi di hari akhirat kelak. 
Ayat ini sudah tidak asing sebenarnya tetapi kelihatan seolah tidak diperdulikan lagi dek kerana tuntutan material melampau manusia yang tidak pernah puas dengan apa yang mereka ada sehinggakan adakalanya mereka berkerja mencari wang tidak tentu masa akhirnya tanggungjawab ibadat kepada Allah dipinggirkan begitu sahaja samada secara tidak sedar atau sangat sedar!

S3 : SAYANGI DIRI & ORGANISASI

Kepada yang masih memiliki pekerjaan, sayangilah diri anda dan organisasi. Apabbila dikatakan sayangi diri kita, maka perlunya kita memelihara diri dan jangan dirosakkan. Bagaimana ia boleh rosak. Ia boleh rosak dengan perlakuan dan tindakan kita yang tidak bermoral, beretika dan bertanggungjawab. Misalnya, amalan rasuah, salahguna kuasa, pecah manah, amalan in boleh mengakibatkan kita dibuang kerja. Apabila kita hilang pekerjaan maka kita akan hilang mata pencarian. Bila hilang mata pencarian, yang akan menerima kesan dan bencananya ialah diri kita dan insan tersayang yang bergantung harap kepada kita sejak sekian lama. Maka janganlah dirosakkan diri.

Sayangi organisasi, hanya akan terlaksana setelah kita sayangkan diri kerana ini akan mengakibatkan produktiviti organisasi akan terjamin. Organisasi akan cemerlang jika ahli di dalamnya sentiasa bersikap memelihara serta mendahulukan kepentingan organisasi melebihi kepentingan dirinya. Apabila organisasi kita pelihara sebaiknya maka ia akan terus menjadi tempat kita mengusahakan rezeki yang halal dalam tempoh yang panjang dan seterusnya akan terus berfungsi untuk generasi-generasi yang bakal menyertai organisasi yang kita pelihara ini.

S4 : SESAT DAN BUNTU BANYAKKAN BERTANYA

Manusia, dalam hal ini perlu memelihara hatinya. Hati secara semulajadinya dikurniakan satu sifat "curiosity", bermaksud rasa ingin tahu. Rasa ingin tahu ini jika dipendam secara saintifiknya bisa menyebabkan pelbagai penyakit hati dan minda kerana ada persoalan yang tidak berjaya dilepaskan. Di antara penyakit yang biasa menimpa orang yang gemar meyimpan rahsia, tekanan atau persoalan di dalam hatinya adalah migrain, pitam, semput, dan sebagainya. Maka, perlu kita sentiasa mengemukakan setiap apa yang terbuku di minda, fikiran dan hati kita. Cumanya, caragaya bertanya juga perlu diperhalusi agar tidak menjadikan persoalan itu sebagai menyebab meretakkan hubungan dan sebagainya.

Masalah ini kerapkali berlaku kepada pegawai atau pemimpin atasan yang mempunyai 'ego' yang tinggi dan tidak mahu merendahkan martabatnya dengan bertanya kerana bimbang dilihat sebagai orang yang 'tidak tahu'. Perlu kita sedari bahawa semua orang tidak terus tahu, malahan semua orang perlu mencari supaya daripada 'tidak tahu' menjadi 'tahu'. Di dalam Surah An-Nahl : Ayat 43 menyatakan "Bertanyalah kamu kepada orang yang tahu sekiranya kamu tidak tahu". Janganlah disebabkan seseorang itu kerani atau pekerja bawahan maka kita tidak mahu bertanya kepada mereka. Malahan kita perlu meletakkan diri kita sebagai manusia yang sentiasa ingin belajar supaya mengetahui perkara yang adakalanya orang bawahan sangat tahu berbanding kita.

S5 : SOMBONG JANGAN DIJADIKAN KEBIASAAN

Baik kita menjadi Menteri, Ahli Politik, Imam, Bilal, Ulama' dan sebagainya, janganlah kita sombong. Terdapat beberapa sifat atau ciri orang sombong yang dapat kita kongsikan termasuklah sebagaimana yang sahabat bijaksana saya pernah kongsikan sebelum ini di dalam Blog nya (saudara Miswary) yang mana saya tambahbaik bagi kesesuaian iaitu:

1. Ketawanya yang berdekah-dekah dan nampak dibuat-buat.
2. Mata liar memandang ke arah orang lain ketika anda sedang bercakap dengannya.
3. Asyik menceritakan kelebihan diri dan mudah memperlihatkan kekurangan orang lain.
4. Mula merendah-rendahkan kejayaan orang lain, walaupun kejayaan orang lain tu sangat sedikit berbanding dirinya.
5. Lagaknya, hanya dia saja yang mencipta kejayaan hari tu.
6. Memandang rendah keupayaan dan kelebihan orang lain.
7. Memperlekehkan apa yang orang lain ada berbanding dirinya.
8. Hanya bergaul dengan sekelompok tertentu sahaja.
9. Kelihatan seperti seorang yang sukar didekati.
10. Tidak mahu merendah diri.
11. Tidak bersungguh-sungguh mendengar pendapat orang lain.
12. Tidak menunjukkan wajah yang manis dan mesra dengan orang lain-hanya pada kawan-kawan sendiri sahaja.
13. Sudah mula tidak sedar diri yang dirinya belum pun berjaya lagi, tapi lagaknya macam dia dah berjaya sangat dah.
14. Mula memilih dengan siapa yang dia mahu tegur dan dengan siapa yang dia tak mahu tegur.
15. Mula menyebut-nyebut pangkat yang telah diperolehi dan dibandingkannya dengan orang lain
16. Kalau sebagai Ketua, tidak mahu mendengar pandangan orang bawahan
17. Adakalanya orang bawahan dimarahi dengan cara agak kasar dari kebiasaannya. Tengking, makian dan hamunan secara percuma tanpa mengira masalah pekerja, waktu bila dan di mana. Yang dia tahu, dia betul semua.
18. Orang di kelilingnya, tak betul semua. Dia sahaja yang sebetul-betulnya.
Dan jika ini benar-benar telah menimpa serta meresap ke dalam jiwa seseorang itu, maka bahayalah hidupnya yang sombong itu. Dan ubat mujarab bagi menyelesaikan masalah sombong ini adalah, banyakkan mengingati mati, banyakkan menziarah orang mati, serta banyakkan menziarah kubur, insya Allah akan banyak perubahan.

Dan S6 : SABAR & SENTIASA MENEKAN BUTANG 'PAUSE'


Bersyukurlah kerana kita dikurniakan oleh Allah akal fikiran, oleh yang demikian sangatlah kita tidak bersyukur jika sekiranya kita tidak benar-benar memanfaatkan penggunaan akal dan fikiran tatkala membuat sesuatu keputusan. Dibimbangi dengan membuat keputusan tanpa berlandaskan akal dan fikiran ini akan menyebabkan peribadi serta keupayaan diri akan dipertikai. Konsep 'tekan butang "pause"/"berhenti" ini bermaksud; apabila berlaku sesuatu insiden, maka kita perlu tekan butang pause/berhenti untuk memberi ruang kepada akal dan minda kita berfikir sejenak sebelum membuat keputusan. Dengan ini, keputusan dibuat tanpa kita membuat kesimpulan mudah dan semberono dan mengakibatkan kita menyesal kemudian hari.

Sebagai contoh bagaimana kisah benar, seorang kanak-kanak yang pada suatu hari sedang makan mi di dapur sambil ditemani oleh ibunya. Tiba-tiba si anak tadi membalikkan mangkuk minya yang akhirnya menyebabkan mi tumpah bertaburan di atas lantai. Soalan: apakah yang bakal anda lakukan jika berada di tempat ibunya? Mungkin samada anda mungkin ada yang terfikir untuk menampar anak tadi atau setidak-tidaknya memarahi anak tadi yang kelihatan melakukannya secara sengaja. Mungkin begitu...

Tetapi si ibu dalam cerita tadi menekan butang pause, lalu mengambil tindakan bertanya kepada anaknya apa tujuan anaknya membalikkan mi tersebut. Lalu si anak menjawab yang dia sedang menolong ibunya. Si ibu kehairanan lalu bertanya "bagaimana pulak?". Lalu si anak mengambil mangkuk tersebut, mengutip sisa-sia mi tadi dimasukkan ke dalam mangkuk kemudian di bawa ke sinki. Lalu si ibu mula faham bahawa si anak ingin membantu cuma mungkin caranya tidak betul. Lalu si ibu berkata kepada anaknya, "Baguslah kalau nak tolong ibu, cuma kena janji dengan ibu lain kali kalau nak tolong ibu, bagi tau ibu dulu sebelum buat", "baik ibu!" jawab si anak.
Bayangkan kalau anak tadi dipukul atau dimarahi, yakinlah bahawa si anak akan beranggapan yang, "tak boleh tolong ibu ni, nanti kenal pukul!". Inilah kesannya jika kita mengambil tindakan tanpa menekan butang pause dan sabar sebelum membuat sesuatu.

BERSYUKURLAH

Walau apa pun pernyataan serta penerangan saya tentang konsep 6S tadi, apa yang paling penting sebenarnya, kita perlu bersyukur degan setiap apa yang kita miliki. Janganlah kita membangga diri, bermegah sedangkan apa yang kita miliki itu sebenarnya tidak ada apa jika nak dibandingkan dengan kekuasaan Allah Ta'ala.

Saya suka sekali berkongsi beberapa bait rangkap syukur untuk renungan semua:

Kita selalu merungut kerana ada orang yang selalu menyakiti hati kita, Bersyukurlah kepada Allah kerana mengurniakan orang yang menyakiti hati kita ini, kerana dialah orang yang menabahkan hati kita.

Kita selalu merungut tentang orang yang pernah menipu kita, Bersyukurlah kepada Allah kerana mengadakan orang yang menipu kita ini, kerana dialah orang yang meningkatkan pengetahuan kita.

Kita merungut kerana ada orang di pejabat kita yang seolah-olah tidak mempedulikan kita, Bersyukurlah kepada Allah kerana mengadakan orang yang tak mengendahkan kita ini, kerana dialah orang yang memupuk sifat berdikari kita.

Kita merungut kerana ada orang yang pernah menjatuhkan kita, Bersyukurlah kepada Allah kerana menciptakan orang yang menjatuhkan kita, kerana dialah orang yang memperhebat keupayaan kita.

Kita merungut kerana orang yang selalu menganiaya atau menyiksa hidup kita, Bersyukurlah kepada Allah kerana menjadikan orang yang menyiksakan kita,kerana dialah orang yang menguji ketertinggian tahap kesabaran kita.

Kita seringkali merungut melihatkan banyak pakaian kita yang telah sempit, Bersyukurlah jika banyak pakaian anda yang sempit, kerana selama ini anda cukup makan, tidak hidup dalam kedaifan.

Kita seringkali merungut kerana perlu mencuci tingkap, lantai, habuk didinding, Bersyukurlah kerana anda perlu mencuci tingkap, membersihkan lantai, dan membuang habuk yang melekap di dinding kerana itu menunjukkan anda mempunyai sebuah rumah.

Kita seringkali merungut kerana bayaran cukai pendapatan setiap tahun, Panjatkan kesyukuran kepada Allah kerana anda terpaksa membayar cukai pendapatan setiap tahun, kerana anda masih mempunyai pekerjaan.

Kita seringkali merungut kerana tempat letak kereta yang jauh, Rasa bersyukurlah kepada Tuhan tatkala anda terpaksa meletakkan kereta di tempat yang jauh, itu bererti anda mempunyai kereta dan mempunyai kudrat untuk berjalan.

Kita seringkali merungut dengan bunyi kenderaan di hadapan rumah kita ketika sedang berehat, Berterima kasihlah kepada Tuhan ketika anda diganggu oleh bunyi-bunyi kenderaan lalu lalang, kerana anda masih mempunyai pendengaran.

Kita seringkali merungut kerana terpaksa mengemas rumah selepas Majlis keramaian, Bersyukurlah juga kepada Tuhan kerana anda terpaksa mengemaskan rumah selepas majlis keramaian, kerana itu menunjukkan anda masih ada sahabat handai.

Kita merungut melihatkan banyaknya pakaian yang perlu digosok, Bersyukur kepada Illahi kerana terpaksa mencuci dan menggosok pakaian setiap hari, kerana anda masih ada lagi pakaian untuk dipakai.

Kita seringkali merungut kerana penat, Panjatkanlah kesyukuran kepada Allah Azza Wa Jalla kerana setiap kali berasa penat dan letih pada penghujung hari kerana ini bermakna anda masih berupaya untuk bekerja kuat demi keluarga tersayang.

Kita seringkali merungut apabila mimpi indah terbantut dengan deringan jam loceng, Bersyukurlah kepada Tuhan apabila mimpi indah anda terbantut kerana diganggu oleh bunyi jam loceng, kerana ia bererti anda masih bernyawa dan sempat lagi mengucapkan kesyukuran atas segala nikmat dan kurnia daripada Maha Pencipta.

Kita seringkali merungut dengan bebelan seorang anak perempuan yang membuat kerja-kerja dapur, Panjatkanlah kesyukuran kepada Illahi apabila anak gadis anda bersungut semasa membuat kerja - kerja dapur, kerana itu bermaksud kini dia berada di rumah, bukan berpeleseran tidak tentu hal di luar sana dengan kawan - kawan.

Kita seringkali merungut dengan bunyi dengkuran tidur Suami atau Isteri, Bersyukurlah kepada Allah jika tiap malam anda diganggu bunyi dengkuran suami, kerana itu bererti dia tidur di rumah, di sebelah anda, bukannya dengan orang lain.

Sekian sahaja untuk renungan semua, dan semoga hari-hari mendatang kita akan menjadi lebih baik lagi dari semalam dan hari ini disebabkan kita mula menjadi manusia yang bersyukur.... mudah-mudahan....

SELAMAT HARI PEKERJA 2009 BUAT SEMUA YANG BERKERJAYA!!!

Sekian dan Wassalam. ALHAMDULILLAH!!

SYAMSUL AMRI BIN HAJI ISMAIL
Pengarah Undang-Undang
Majlis Perbandaran Nilai

Tiada ulasan: