Ahad, 5 September 2010

Perutusan Hari Raya oleh Pengarah Undang-Undang MPN

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI 1431 HIJRAH

Syamsul Amri bin Hj Ismail
Pengarah Undang-Undang
Majlis Perbandaran Nilai
.
.
Sekali lagi kini... kita berada di penghujung Ramadhan. Tidak berapa lama lagi kita akan menyambut Syawal sebagai tanda kemenangan perjuangan kita melawan lapar, dahaga menahan nafsu di sepanjang bulan Ramadhan Al-Mubarak. Dengan demikian juga berpestalah umat Islam di seantero alam dalam menzahirkan rasa syukur yang tidak terhingga kepada Allah di atas segenap nikmat dan kurniaan hingga kita berupaya meraikan sekali lagi Syawal 10 September 2010 ini, insya Allah.
.
Namun dalam pada itu dua perkara penting yang perlu kita sedari dan hayati adalah aspek kesyukuran dan kemaafan. Sememangnya berupaya melafazkan kesyukuran dan melafazkan kata kemaafan, namun sejauh mana keikhlasan kita mengungkapkannya.
.
KESYUKURAN
.
Menafikan peranan Ramadhan sebagai bulan ujian dalam mengangkat martabat keinsanan dengan pengisian perayaan yang bercanggah dengan tuntutan Islam adalah satu kesilapan besar umat Islam. Bulan Ramadhan merupakan tempoh penting sepanjang setahun untuk melihat sejauh mana manusia terdidik secara khusus terhadap pengabdian dan kepimpinan diri dalam fitrahnya. Sekiranya ia dicemari dengan amalan maksiat dan sia-sia dalam menyambut Syawal, maka ini menjadikan madrasah Ramadhan satu lakonan yang merugikan.
.
Berpuasa di bulan Ramadhan bukan hanya untuk mendapat lapar dan dahaga. Lebih dari itu, perlaksanaan ibadahnya dengan ganjaran yang tidak ternilai. Maqam fitrah yang paling tinggi diletakkan sebagai sasaran. "Barangsiapa berpuasa dengan penuh keimanan dan keinsafan, diampunkan baginya segala dosa-dosanya yang lampau". Maqam fitrah sejak dilahirkan, setiap anak itu berada dalam keadaan bersih dari sebarang dosa sehinggalah perjalanan kehidupannya dihiasi atau dicemari oleh amalan seharian. Dengan berbagai dugaan dan cabaran sepanjang setahun akhirnya manusia diberi kesempatan semula untuk mengasuh dan memurnikan kembali dirinya dan akhlaknya melalui penghayatan Ramadhan dan penilaian Syawal.
.
Aidil Fitri adalah satu titik penting penanda untuk menilai sejauh mana manusia terdidik oleh kongkongan nafsu. Apa yang tergambar boleh dilihat melalui bentuk sambutan perayaan dan bagaimana kesyukuran ke atas pencapaian diri diterjemahkan. Penilaian ini juga penting menentukan tahap di mana kedudukan sesebuah bangsa dari pelbagai sudut samada politik, ekonomi dan sosial serta jangkaan kemungkinan tertentu pada masa akan datang.
.
Walaupun masih ada beberapa aspek perlukan penambahbaikan, suasana matang yang digambarkan oleh masyarakat Malaysia sepanjang Ramadhan telah diterjemahkan dalam kesederhanaan menyambut Syawal. Perkembangan ekonomi masih dalam kawalan apabila kadar kawalan barangan, kenaikan harga dan keperihatinan pengguna menyeimbangkan pasaran. Pengusaha yang ghairah mengaut keuntungan dahulunya boleh mendabik dada mungkin hanya mampu berasa lega sahaja pada tahun ini kerana tekanan keseimbangan tingkahlaku pengguna yang makin bijaksana. Persaingan sihat ekonomi telah memberi kesan baik kepada pilihan pengguna dalam berbelanja dan memberi nilai kepada wang yang mereka keluarkan. Pengorbanan badan penguatkuasaan agensi terbabit telah terhasil memberi kesan positif kepada kestabilan harga dan pasaran barangan dalam negara.
.
Kerisauan yang pernah dibimbangi dahulu tentang pola kerosakan sosial masyarakat serta kecelaruan ekonomi akibat ancaman dalaman dan luaran dapat dibendung. Walaupun ada desas-desus cerita terpinggir tentang salah faham umat Islam menghayati Ramadhan dan Syawal dengan membiarkan nafsu yang meliar ketika perayaan masih berlaku, namun kepincangannya tidaklah terlalu ketara. Namun, kedudukan ini bukanlah satu alasan untuk kita katakan sebagai memadai dan mengambil pilihan untuk mendiamkan diri dengan tidak melakukan apa-apa. Sebenarnya, inilah ruang peningkatan terbaik untuk masyarakat Islam melonjakkan diri ke tahap yang lebih tinggi.
.
Disebabkan kestabilan, kadang-kadang kita langsung lupa langkah-langkah penambahbaikan. Sudut perhubungan khalik-makhluk inilah yang agak kurang diberi perhatian dan masih boleh ditingkatkan melalui penghayatan kesyukuran. Perkara inilah yang akan kekal berpanjangan memetakan kematangan masyarakat dalam kehidupan seharian.
.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa bentuk sambutan perayaan berubah dari masa ke semasa bergantung kepada persekitaran dan tahap kekuatan hubungan manusia dengan penciptanya. Persekitaran sering menjadi pengaruh utama samada menyumbang atau menghalang tahap fitrah ini menemui maksud asalnya dan sejauh mana masyarakat Islam berupaya terlepas dari genggaman nafsu sendiri. Pertarungan melawan nafsu merupakan pertarungan yang paling sukar dalam tamadun bangsa. Keupayaan membendungnya merupakan titik tolak kepada kejayaan atau kejatuhan sesebuah bangsa. Matlamat syariat yang paling asas ini jika diabaikan akan mengundang bencana kepada kestabilan yang dibangga-banggakan.
.
Kecenderungan penghayatan perayaan dan kefahaman menzahirkan kesyukuran merupakan landasan utama perayaan. Sepanjang perjalanan zaman, tahap penghayatan telah banyak menerima berbagai bentuk perubahan. Takrif syukur terletak kepada pengaruh persekitaran yang disesuaikan ke atas sesuatu kaum. Sebagai contoh, orang yang hidup secara primitif menganggap kewujudan makhluk-makhluk halus yang mempengaruhi kehidupan mereka maka pemujaan unsur-unsur mistik ini diamalkan terutama menyambut hari-hari penting dalam kehidupan dalam tarian dan bunyi-bunyian.
.
Begitu juga dalam zaman jahilliyyah yang bergelumang dengan arak, wanita dan hidup bersosial. Orang-orang jahiliyyah menzahirkan kegembiraan dengan pesta makan minum, kegiatan sosial yang tidak mengira sempadan serta kegembiraan yang tiada bertepi. Kedatangan Islam memberi takrifan semula kepada perayaan dengan mengagungkan Allah dan meraikan kemenangan berjihad melawan nafsu sendiri.
.
Ketika Rasullullah berhijrah ke Madinah pada peringkat awal penghijrahan, kaum madinah memberitahu Rasullullah bahawa terdapat dua perayaan di mana semua orang akan bergembira pada hari tersebut. Lalu Rasullullah menjawab bahawa Allah gantikan dua kegembiraan melebihi kegembiraan yang digambarkan kepada baginda iaitu Aidil Fitri dan Aidil Adha. Rasulullah dan para sahabat memberi takrifan baru terhadap perayaan dengan tidak putus-putus bertakbir, bertasbih dan bertahmid sejak gelincir matahari sehinggalah di siang hari raya. Manakala perkembangan yang berlaku di Malaysia pada zaman 80-an dan 90-an, malam raya diisi dengan aktiviti kumpulan perarakan takbir berjalan dari rumah ke rumah di dalam kejiranan untuk bertakbir dan bertahmid.
.
Kini tiba zaman bergantung kepada teknologi dan maklumat. Zaman penggunaan komputer, internet dan televisyen yang ketara sekarang mempamerkan bagaimana umat Islam menyatakan kesyukuran di hadapan semua ini. Takbir, tasbih dan tahmid telah diambilalih oleh televisyen. Mungkin tidak salah perkembangan ini tetapi, sejauh mana penghayatan kesyukuran itu berlaku kepada umat Islam dalam mendokong usaha berterusan memerangi nafsu. Apakah kesan ‘sambutan' kesyukuran ini selepas selesai tempoh perayaan?
.
Begitu juga dengan apa yang difahami dan diamalkan oleh segelintir muda-mudi zaman sekarang. Bagi mereka agak janggal mengaitkan kegembiraan dengan kesyukuran tetapi lebih menitikberatkan erti kebebasan mutlak melakukan apa saja tuntutan nafsu seperti fahaman puak jahiliyyah apatah lagi untuk melihat amalan-amalan anjuran Rasullullah ketika meraikan perayaan.
.
Sekiranya pola perayaan yang sering terdedah kepada berbagai bentuk ancaman tidak dikawal, salah faham tentang erti perayaan akan berlaku akhirnya. Zaman yang berputar akan mengembalikan tradisi jahiliyyah ke dalam perayaan Islam. Di samping pergaulan bebas, aktiviti-aktiviti yang tidak sihat berlaku apabila beramai-ramai berkumpul untuk berpesta dengan hidangan muzik, minuman atau ubatan mengkhayalkan serta kebebasan kegiatan seks. Di samping pengaruh kuat dari anasir luar dan kurangnya pemantauan ibubapa, kelemahan penghayatan merupakan kunci utama kepada gejala yang tidak sihat ini. Bagi golongan begini, ‘perayaan' hanyalah istilah penanda kemuncak merajakan nafsu dan alasan bagi mereka yang memang telah mengggelincirkan diri dari hakikat Islam. Justeru itu, marilah sama-sama kita menghargai kemenangan Ramadhan dengan mengekalkan penghayatan bersyukur dengan bertakbir, bertasbih dan bertahmid seikhlasnya.
.
KEMAAFAN
.
BERSALAMAN dan bermaafan menjadi antara kemestian setiap kali menjelang lebaran. Bagi setiap keluarga, bersalaman lazimnya dilakukan pada pagi Aidilfitri. Bermula dengan isteri mencium tangan suami diikuti anak menghulurkan salam kepada ibu dan bapa, budaya ini bagaikan sudah sebati dalam masyarakat kita. Jika tidak berkesempatan melakukannya pada pagi raya, anda boleh menghulurkan salam apabila bersua. Aidilfitri diraikan sebulan, manfaatkan sebaiknya untuk memohon kemaafan.
Salam dengan ikhlas
.
SELEPAS sebulan berpuasa, ramai yang merebut peluang keemasan di Aidilfitri untuk menjernihkan kekeruhan dan mengeratkan hubungan sesama saudara mara mahupun rakan.
Konsep yang menjadi amalan ini sememangnya indah jika diiringi keikhlasan dan keinsafan tatkala kemaafan dipohon.
.
Sayangnya kebanyakan orang menganggap, bersalaman dan bermaafan itu sebagai perkara biasa apabila bertemu saudara-mara atau rakan pada Aidilfitri.
.
Pensyarah di Fakulti Bahasa Al-Quran, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Mohd Zawawi Yusoh, berkata sebaiknya bersalaman dan bermaafan itu difahami maksud sebenarnya dan bukan sekadar hanya melepas batuk di tangga.
.
Paling penting, katanya, bersalaman tidak sepatutnya sekadar salam yang asalkan bersentuh tangan, tetapi muka berpaling ke tempat lain dengan senyuman tawar dilemparkan.
.
"Bersalam mengikut sunnah nabi apabila berjumpa. Kadang-kadang mereka berpeluk. Salam cara Nabi, mata bertentang mata, tangan saling berpegangan dan senyum sedikit. Nabi bukan salam `touch n go', tetapi hanya melepaskan tangan apabila orang yang disalam itu melepaskan tangannya terlebih dulu. Bersalam saja sudah mendapat pahala, tetapi jika orang itu kecil hati sebab kita salam ala kadar, kita boleh dapat dosa pula. Bersalam juga boleh menggugurkan dosa kecil kerana itu digalakkan kita bersalam untuk memohon maaf," katanya.
.
Beliau berkata, kebanyakan masyarakat menganggap bersalaman pada hari raya hanyalah mengikut adat tanpa menghayati maksud sebenarnya.
.
Kemaafan yang dipohon bukanlah kerana insaf dengan kesalahan dilakukan atau betul-betul menyesal dengan perbuatan mereka.
.
"Jangan menganggap bersalaman memohon kemaafan itu sebagai slogan Aidilfitri semata-mata. Mintalah maaf dengan rasa menyesal, malu dan tidak ingin mengulangi lagi perbuatan itu. Bermaafan ini sewajarnya dibuat tanpa menunggu musim raya saja, tetapi pada bila-bila masa iaitu apabila kita ada melakukan kesalahan pada sesiapa yang dirasakan perlu memohon maaf daripadanya," katanya.
.
Bagaimanapun, katanya tidak semua kesalahan yang dilakukan itu perlu diberitahu. Tambahan pula jika dikhuatiri jika berterus terang boleh menimbulkan kekecohan atau menggugat keselamatan atau takut ia berpanjangan, cukup hanya bertaubat segera kepada Tuhan dan banyakkan menghulurkan sedekah.
.
Sebaliknya mereka yang melakukan dosa besar perlu setulus hati memohon maaf seikhlas hati. Misalnya anak derhaka kepada ibu bapa atau suami isteri, kena minta maaf dengan sejujur-jujurnya.
.
"Lazimnya kita sendiri tidak tahu atau tidak sedar apabila ibu bapa kita terguris dengan kata-kata atau perbuatan kita. Begitu juga suami isteri yang tidak menjalankan tanggungjawab mereka dengan sempurna atau mereka yang mengumpat orang lain sehingga tercemar maruahnya atau fitnah yang dilemparkan, perlu memohon maaf dengan menyebut kesalahan dilakukan seterusnya berjanji untuk tidak mengulanginya lagi. Maaf juga perlu diterima dengan seikhlas hati dan ia tidak diungkit lagi pada masa depan," katanya.
.
Beliau berkata, bermaafan wajar menjadi amalan setiap individu kerana selalunya kita membuat kesilapan sama ada secara disedari atau tidak.
.
Menyambut hari raya bukan sekadar dengan baju atau rumah baru, tetapi jiwa baru dan sebab itu suasana minta maaf dianggap istimewa.
.
"Menyambut hari raya adalah sebagai adat dan ibadat. Walaupun kita perlu bersungguh-sungguh memohon maaf, jangan dilupakan hukum ditetapkan iaitu tidak boleh bersalaman dengan bukan mahram. Bersalaman boleh memberikan pahala, tetapi jika bersentuhan dengan bukan mahram seperti abang ipar, kakak ipar, sepupu dan rakan, kita boleh mendapat dosa pula. Dalam hal ini, kita boleh meminta maaf dengan menyebut saja. Sudah cukup hati kita bersentuhan walaupun tangan tidak berpegangan. Bermaafan dengan adat tidak sama dengan ibadat," katanya.
.
Memohon maaf juga tidak perlu mengikut siapa tua, siapa muda.
.
Misalnya, ibu bersalah terhadap anak, maka beliau yang perlu berjumpa dengan anaknya. Begitu juga antara suami dan isteri, kemuliaan kedua-duanya adalah sama di sisi Allah. Jadi, jika suami bersalah, suami patut meminta maaf kepada isteri.
.
"Selalunya isteri minta maaf dan cium tangan suami, tetapi ini tidak bermakna suami tidak perlu memohon maaf daripada isteri. Kalau suami bersalah, suami juga perlu minta maaf. Manusia di sisi Allah sama saja justeru tidak timbul persoalan jatuh maruah atau hilang darjat apabila minta maaf atau memohon kemaafan. Walaupun individu yang memohon kemaafan itu lebih tua atau berpangkat lebih besar," katanya.
.
Amalan bermaafan perlu dipupuk sejak anak masih kecil. Bagaimanapun, ibu bapa sebaiknya menerapkan konsep sebenar mengenai amalan itu kepada anak agar ia tidak difahami sebagai adat semata-mata berbanding ibadat. Memohon maaf apabila melakukan kesalahan juga perlu disemai sejak kecil agar anak dapat belajar dan tidak mengulangi kesalahan yang sama.
.
Tambahan Tips:
.
Bermaafan
* Lambang hati yang bersih dan sifat yang disukai Allah.
* Cara bersalam dalam Islam untuk minta maaf mengikut sunnah Nabi ialah pegang kedua-dua belah tangan dan tengok muka.
* Dalam Islam sesiapa yang maafkan orang lain, Allah akan sediakan balik kebaikan pertama, pahala memaafkan dan kedua, mengurangkan penderitaan ditanggung derita.
* Anak yang bersalam dengan ibu bapa, sunat mencium tangan dan dahi mereka. Jika boleh cium kedua-dua belah pipi.
* Amalan bersalam lelaki dengan perempuan tanpa kira bukan muhrim mesti dielakkan kerana perbuatan itu menambahkan dosa dan seolah-olah takwa yang dibina 30 hari pada Ramadan, roboh dalam sehari.
* Memaafkan orang lain yang berbuat salah pada diri kita mempunyai beberapa hikmah. Antaranya, orang lain yang marah dengan diri kita mungkin akan memaafkan kesalahan kita lakukan kepadanya.
* Berpuasa dengan penuh takwa pada Ramadan boleh membentuk individu mempunyai hati yang lembut dan menghindarkan diri daripada sifat tidak diingini. Justeru, individu berkenaan Insya-Allah tiada masalah untuk bermaafan.
* Bagi yang jauh dan tidak boleh berjumpa boleh meminta maaf dengan menulis surat atau menggunakan teknologi yang ada serta mengaku kesilapan dilakukan.
.
ADAB MENYAMBUT HARI RAYA AIDILFITRI
.
Sebagai hadiah kemenangan orang-orang Islam dalam perjuangan mengengkang hawa nafsu di bulan Ramadhan Allah Subhanahu wa Ta'ala membalasnya dengan satu hari yang dinamakan Aidil Fitri atau Hari Raya Fitrah, di mana Allah Subhanahu wa Ta'ala menghalalkan mereka berbuka puasa dan mengharamkan berpuasa pada hari tersebut.
.
Dalam keghairahan menyambut Hari Raya yang mulia adalah wajar ianya disambut mengikut lunas- lunas yang digariskan oleh Syara' dan tidak dicampurbaurkan dengan perkara-perkara yang dilarang atau yang diharamkan.
.
Hari Raya memang tidak boleh disamakan dengan sambutan perayaan- perayaan yang lain, kerana ianya merupakan kurniaan Allah Subhanahu wa Ta'ala khusus kepada hamba- hamba yang beribadat dan berjuang melawan hawa nafsu sepanjang bulan Ramadhan.
.
Apakah adab-adab dan perkara-perkara sunat yang dilakukan ketika menyambut kedatangan Hari Raya?
.
Banyak fadilat atau kelebihan yang terdapat pada malam Hari Raya. Oleh sebab itu, di antara adab-adab dan perkara-perkara sunat yang telah digariskan oleh Syara' untuk kita melakukannya ialah menghidupkan malam Hari Raya itu dengan melakukan amal-amal ibadat seperti mendirikan sembahyang fardhu secara berjemaah, melakukan sembahyang sunat, bertakbir, memanjatkan doa ke hadrat Ilahi dan melakukan apa- apa jua bentuk perkara yang berkebajikan.
.
1. Berdoa di malam raya
.
Al-Imam Al-Syafie Rahimahullahu Ta'ala telah menegaskan bahawa malam Hari Raya itu adalah di antara malam-malam yang mudah diperkenankan doa, sebagaimana beliau berkata di dalam kitabnya Al-Umm: "Telah sampai kepada kami bahawasanya pernah dikatakan, sesungguhnya doa itu sungguh mustajab pada lima malam; malam Jumaat, malam Hari Raya Adha, malam Hari Raya Fitrah, awal malam Rajab dan malam Nisfu Sya'ban.
.
Perlu diingat juga, kelebihan menghidupkan malam Hari Raya itu tidak akan diperolehi melainkan dengan mengisi dan menghidupkan sebahagian besar malam tersebut, sebagaimana mengikut pendapat yang shahih.
.
2. Bertakbir Sepanjang Malam sehingga sebelum Solat Sunat Aidilfitri
.
Kemeriahan Hari Raya lebih dirasai apabila laungan takbir bergema. Namun begitu, tidak bermakna takbir itu semata-mata untuk memeriahkan suasana tetapi lebih dari itu, ianya lebih bersifat untuk melahirkan rasa kesyukuran dan mengagungkan Allah Subhanahu wa Ta'ala. Allah memerintahkan kepada kita mengakui akan kebesaran dan keagunganNya dengan mengucapkan takbir.
.
Ucapan takbir pada malam Hari Raya itu merupakan ibadah yang kita lakukan untuk melepaskan Ramadhan dan untuk menyambut kedatangan Aidilfitri. Oleh sebab itu, disunatkan kepada kita mengucapkan takbir dengan mengangkat suara, bermula waktunya dari terbenam matahari malam Hari Raya sehingga imam mengangkat takbiratul ihram sembahyang Hari Raya. Firman Allah Ta'ala:
.
Tafsirnya: "Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjukNya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur."
.
(Surah Al-Baqarah : 185)
.
3. Mandi Sunat Aidilfitri
.
Di pagi Hari Raya pula disunatkan mandi kerana Hari Raya sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu 'Abbas dan Al-Fakih bin Sa'd Radhiallahu 'anhum bahawa Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam melakukan mandi pada Hari Raya Fitrah dan Hari Raya Adha. Hadits ini dikeluarkan oleh Ibnu Majah.
.
4. Memakai Pakaian yang Terbaik, menghilangkan bau yang tidak elok
.
Di samping itu disunatkan juga memakai pakaian yang sebagus-bagusnya, memakai harum-haruman dan menghilangkan segala bau-bau yang tidak elok. Tidak kira sama ada orang itu hendak keluar pergi ke masjid untuk menunaikan sembahyang Hari Raya ataupun duduk sahaja di rumah, kerana hari tersebut merupakan hari untuk berhias-hias dan berelok-elok. Diriwayatkan daripada Ja'far bin Muhammad daripada bapanya daripada datuknya:
.
Maksudnya: "Bahawasanya Shallallahu 'alaihi wasallam memakai kain yang bergaris-garis (untuk diperselimutkan pada badan) pada setiap kali Hari Raya."
.
(Hadits riwayat Al-Syafi'e dan Al-Baghawi)
.
5. Makan terlebih dahulu (seelok-eloknya makan kurma dalam bilangan ganjil)
.
Sebelum keluar pergi ke masjid untuk menunaikan sembahyang sunat Hari Raya Fitrah disunatkan makan dan minum terlebih dahulu kerana mengikut apa yang dilakukan oleh Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam sebagaimana yang diriwayatkan daripada Anas Radhiallahu 'anhu, beliau berkata:
.
Maksudnya: "Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam tidak keluar pada waktu pagi Hari Raya Fitrah sehingga Baginda makan (terlebih dahulu) beberapa biji tamar dan Baginda memakannya dalam bilangan ganjil."
.
(Hadits riwayat Al-Bukhari dan Ahmad)
.
6. Mengucapkan tahniah
.
Selain itu, Hari Raya merupakan hari kemenangan dan kegembiraan, maka sebab itu disunatkan bagi sesama muslim saling mengucapkan tahniah antara satu sama lain dengan mengucapkan:
.
Ertinya: "Semoga Allah menerima daripada kita dan menerimaNya daripada awak."
.
Daripada Jubair bin Nufair, di mana beliau merupakan salah seorang Tabi'en (orang-orang yang datang setelah Sahabat Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam) telah berkata (maksudnya): "Sahabat- sahabat Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam apabila mereka berjumpa di Hari Raya, setengahnya mengucapkan kepada setengah yang lain:
.
Ertinya: "Semoga Allah menerima daripada kami dan menerimaNya daripada awak."
.
Menurut pandangan jumhur ulama bahawa mengucapkan tahniah di Hari Raya merupakan sesuatu perkara yang disyari'atkan di dalam Islam.
.
Al-Imam Al-Qalyubi menaqalkan daripada Al-Imam Ibnu Hajar bahawa memberi atau mengucapkan tahniah pada hari-hari raya, bulan-bulan dan tahun- tahun (kerana ketibaannya) merupakan perkara yang disunatkan. Al-Imam Al-Baijuri mengatakan: Inilah yang yang dii'timadkan.(Al-Mausu'ah Al-Fiqhiyyah, Juz 14, m.s. 100)
.
7. Ziarah menziarahi
.
Manakala itu pula, amalan saling ziarah menziarahi rumah terutama sekali saudara mara terdekat dan sahabat handai merupakan suatu tradisi yang sentiasa diamalkan ketika menyambut Hari Raya. Amalan ini juga sebenarnya termasuk di dalam perkara yang digemari dan disyariatkan di dalam Islam.
.
Dalil yang menunjukkan pensyariatannya sebagaimana yang diriwayatkan daripada Aisyah Radhiallahu 'anha, beliau berkata:
.
Maksudnya: "Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam masuk kepadaku, dan di sisiku ada dua orang anak perempuan yang menyanyi dengan nyanyian Bu'ats. Lalu Baginda baring di atas hamparan dan memalingkan mukanya, dan kemudian Abu Bakar masuk, lalu mengherdikku dengan berkata: "Seruling syaitan di sisi (di tempat) Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam!" Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam menghadap kepada Abu Bakar lalu berkata: "Biarkan mereka berdua itu." Melalui riwayat Hisyam Baginda menambah: "Wahai Abu Bakar, masing-masing kaum ada hari rayanya, dan hari ini adalah Hari Raya kita."
.
(Hadits riwayat Al-Bukhari)
.
Al-Hafizh Ibnu Hajar Al-'Asqalani menerangkan di dalam kitabnya Fath Al-Baari bahawa kedatangan atau masuknya Abu Bakar Radhiallahu 'anhu ke dalam rumah Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam menunjukkan seolah-olah Abu Bakar Radhiallahu 'anhu datang sebagai pengunjung atau penziarah selepas masuknya Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam ke dalam rumah Baginda.
.
(Al-Fath Al-Baari, Juz 3, m.s. 116 & Al-Mausu'ah Al-Fiqhiyyah, Juz 31, m.s. 117)
.
Sehubungan dengan perkara ziarah menziarahi ini, adalah ditekankan kepada orang yang pergi berziarah supaya sentiasa komited terhadap etika ziarah yang ditetapkan oleh Islam. Umpamanya hendaklah meminta izin atau memberi salam sebelum masuk, tidak menghadapkan muka langsung ke arah pintu, menjaga adab kesopanan ketika berada di dalam rumah orang yang diziarahi, memilih waktu yang sesuai untuk berziarah dan sebagainya.
.
8. Tetap menjaga disiplin sebagai seorang Islam yang beriman
.
Dalam keghairahan menyambut Hari Raya, perlu diingat jangan sekali-kali sampai lupa kewajipan kita kepada Allah Ta'ala iaitu mendirikan sembahyang fardhu, dan kerana terlalu seronok jangan pula adanya berlaku perlanggaran batasan-batasan agama.
.
Apa yang di harapkan daripada sambutan Hari Raya sebenarnya bukannya semata-mata kegembiraan atau keseronokan tetapi yang lebih penting dan lebih utama lagi ialah mendapatkan keberkatan dan keredhaan Allah Subhanahu wa Ta'ala. Semoga kita semuanya mendapat keberkatan dan keredhaan Allah Subhanahu wa Ta'ala kerana menghidupkan, membesarkan dan mengagungkan Hari Raya Aidilfiri.
.
Dengan ini saya mewakili diri saya dan keseluruhan ahli keluarga saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri dan Maaf Zahir dan Batin.
.
Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar Walillahilhamd!!!
.
.
Disediakan oleh :
.





Syamsul Amri bin Hj Ismail
Pengarah
Jabatan Undang-Undang & Penguatkuasaan
Majlis Perbandaran Nilai

Tiada ulasan: