Khamis, 9 Jun 2011

PUU Menulis : Menjawab Persoalan Cukai Taksiran

Apabila tibanya musim membayar cukai (saya maksudkan Cukai Taksiran), pasti akan timbul beberapa persoalan yang kerap kali diulang oleh pembayar cukai. Ada yang mempersoalkan ke mana perginya wang cukai yang telah dibayar? Mengapa perlu bayar? Untuk apa bayar? Service (perkhidmatan) tak bagus tapi bayar mahal. Ada juga yang menyatakan yang ada individu yang telah membayar perkhidmatan penyelenggaraan kepada pemaju tetapi tetap perlu membayar cukai taksiran (yang mana pada pandangan mereka sebagai 'double-charging', dan pelbagai lagi. Maka, inisiatif saya pada kali ini adalah untuk menerangkan kepada para pembaca serta pengikut sekelian tentang apakah itu cukai taksiran sebenarnya.

A. APAKAH ITU CUKAI TAKSIRAN?

Cukai Taksiran atau Cukai Pintu ialah cukai yang dikenakan ke atas bangunan /tanah yang terletak dalam kawasan Majlis Perbandaran Nilai seperti:


1. Bangunan Kediaman (pangsapuri, rumah pangsa, rumah teres, banglo dan lain-lain)

2. Bangunan Perusahaan (kilang dan gudang)

3. Bangunan perdagangan/perniagaan (kedai, pejabat, pasaraya, hotel, stesen minyak dan lain-lain)

4. Tanah Pertanian

5. Tanah Kosong

B. BAGAIMANA CUKAI TAKSIRAN DIKENAKAN? BAGAIMANA CUKAI TAKSIRAN DIBELANJAKAN?


Ia dilakukan melalui proses nilaian berpandukan nilai tahunan dan kadar peratus yang diwartakan. "Nilai Tahunan” ertinya anggaran kasar sewa tahunan yang munasabah dijangka akan diperolehi dari setahun ke setahun dari pegangan yang berkenaan jika ia disewakan. Cukai Taksiran ini dikenakan untuk membiayai:


a) Pembinaan dan penyelenggaraan kemudahan awam seperti dewan orang ramai, tandas awam, perhentian bas, padang permainan kanak-kanak dan tempat-tempat rekreasi, pasar dan sebagainya.


b) Pembinaan dan penyelenggaraan taman permainan dan kemudahan- kemudahan awam.

c) Penjagaan dan penyelenggaraan infrastruktur seperti jalan, parit , longkang dan sebagainya.


d) Penyediaan dan penyelenggaraan lampu-lampu jalan.


e) Pembangunan kawasan Majlis Perbandaran Nilai


f) Pembuangan, pemungutan dan pelupusan sisa pepejal.

Kesemua ini adalah untuk kesejahteraan rakyat khususnya penduduk kawasan pentadbiran MPN.

C. BAGAIMANA PEMBAYARAN BOLEH DILAKUKAN?

Pembayaran boleh dilakukan menerusi beberapa cara:

a) Kaunter Kewangan MPN

b) Kaunter Pandu-Lalu (Drive-Through) MPN

c) Kaunter Luat di Tingkat Atas, Pasar Awam Taman Seremban Jaya

d) Semua Pejabat Pos di dalam Daerah Seremban

e) Semua Kaunter bank Islam di Malaysia

f) Secara On-Line RHB Bank (Pemegang Akaun sahaja)

g) Secara On-Line Bank Islam (Penegang Akaun sahaja)

h) MBF tekan dan bayar (click and pay)

i) MBF panggil dan bayar (call and pay)

D. BILAKAH BIL-BIL DIHANTAR?

Bil Cukai Taksiran akan dihantar kepada pemilik selewat-lewatnya pada minggu kedua bulan Januari untuk½ tahun pertama dan juga selewat-lewatnya minggu kedua bulan Julai untuk ½ tahun kedua. Jika bil-bil tersebut tidak diterima di dalam bulan tersebut maka pemilik bolehlah datang sendiri di bahagian Penilaian, Majlis Perbandaran Nilai. Pemilik yang tidak menerima bil terbaru dikehendaki membawa bil lama untuk semakan nombor Akaun Harta dan Alamat Harta.

E. NOTIS JUALAN ATAU PINDAHMILIK

Mengikut Seksyen 160, Akta Kerajaan Tempatan 1976 (171) 160, apabila sesuatu pegangan berkadar dalam sesuatu kawasan pihak berkuasa tempatan dijual atau dipindah milik, pembeli atau penerima perlu membuat pindah milik dalam tempoh 3 bulan selepas jualan atau pindah milik, notis mengenainya harus diberi kepada pihak berkuasa tempatan dalam Borang I yang boleh didapati di kaunter semakan cukai taksiran di Pejabat Majlis.

Dokumen-dokumen yang diperlukan ialah salinan geran terkni / surat perjanjian atau Borang 14A berserta resit bayaran di Pejabat Tanah dan Galian, salinan cukai taksiran terkini dan salinan kad pengenalan.

F. TEMPOH PEMBAYARAN CUKAI TAKSIRAN AMCukai Taksiran boleh dibayar dua kali setahun iaitu pada atau sebelum 28 Februari bagi ½ tahun pertama dan pada atau sebelum 31 Ogos bagi ½ tahun kedua. Sekiranya pemilik ingin membayar cukai setahun mereka bolehlah membayar sebelum 28 Februari bagi tahun berkenaan.

G. TINDAKAN-TINDAKAN JIKA CUKAI TIDAK DIJELASKANTarikh bayaran untuk mengelakkan denda adalah :
½ tahun pertama mulai 1hb Jan. hingga 28hb. Feb. dan ½ tahun kedua mulai 1hb Julai hingga 31hb Ogos pada setiap tahun.
Pemilik akan dikenakan denda lewat bayaran mengikut Seksyen 147(1) Akta 171,1976.

Bayaran penuh perlu dijelaskan selepas 15 hari notis tuntutan dikeluarkan. Jika masih tidak membayar cukai, waran tahanan akan dikeluarkan selaras dengan Akta 171, 1976 seksyen 148(4).

H. BIL-BIL YANG TIDAK DITERIMA

Jika anda tidak menerima/lewat menerima Bil cukai Taksiran, anda perlu membawa bil yang terdahulu ke kaunter semakan cukai taksiran untuk mendapatkan bil yang baru.

I. ELAUN KEKOSONGAN


Walaupun rumah tidak berpenghuni atau kosong, pemilik diwajibkan membayar cukai taksiran tetapi boleh memohon elaun kekosongan. Pemilik harus mengemukakan surat permohonan elaun kekosongan kepada Majlis.

J. PERUBAHAN ATAS BANGUNAN / HARTANAH

Pemilik hendaklah memberitahu kepada Majlis sekiranya terdapat perubahan atas bangunan:

• Bangunan dibina tambahan

• Bangunan baru dibina

• Bangunan runtuh

• Bangunan terbakar

• Bangunan di ubah ketempat lain

• Bangunan telah dijual/dipindah milik

Kegagalan memberitahu kepada Majlis akan membebankan kepada pemilik dari segi bayaran cukai taksiran yang dikenakan.

K. TIDAK MAMPU MENJELASKAN TUNGGAKANAdakah saya perlu membayar cukai sekiranya rumah yang saya duduki adalah rumah sewa yang mempunyai tunggakan? Ya, membayar cukai adalah tanggungjawab pemilik rumah. Sekiranya berlaku perkara seperti diatas maka penyewa boleh membayar cukai melalui potongan sewa untuk mengelakkan harta/rumah sewa anda disita.

Apakah yang perlu saya lakukan sekiranya jumlah wang tunggakan dalam bil adalah di luar kemampuan saya untuk membayarnya? Sekiranya bayaran penuh tidak dapat dijelaskan, maka dalam kes-kes tertentu bayaran boleh dilakukan secara ansuran.

L. CUKAI TAKSIRAN TANGGUNGJAWAB BERSAMA

Mengapa cukai taksiran perlu dibayar sedangkan rumah saya tidak menerima sebarang perkhidmatan pengangkutan sampah, kemudahan laluan/jalan, penyediaan lampu jalan, longkang, parit, dan sebagainya oleh Majlis?

Walaupun anda tidak menerima sebarang perkhidmatan dari majlis seperti yang disebutkan di atas, namun membayar cukai tetap menjadi tanggungjawab anda kerana kawasan anda telah diisytiharkan termasuk dalam kawasan bercukai Majlis.

Di dalam Seksyen 146 Akta Kerajaan Tempatan telah menyatakan dengan jelas bahawa Cukai Taksiran adalah diwajibkan kepada kesemua pemunya pegangan sehingga dibayar kadar itu , hendaklah tertakluk kepada peruntukan Kanun Tanah Negara dan jika sekiranya tidak dibayar kadar tersebut boleh dianggap sebagai tunggakan sebagaimana di dalam Seksyen 147(2) Akta Kerajaan Tempatan dan tunggakan tersebut boleh dituntut dengan cara sebagaimana digariskan di dalam Seksyen 148 Akta Kerajaan Tempatan.








KESALAHAN-KESALAHAN PEMBAYAR CUKAI SEKIRANYA DISABITKAN, DIKENAKAN DENDA TIDAK LEBIH RM 2,000.00 ATAU PENJARA 6 BULAN ATAU KEDUA-DUANYA SEKALI.

Dalam Akta Kerajaan Tempatan 1976, Akta 171, tindakan atas kesalahan-kesalahan berikut:

1. Mengikut Seksyen 140 adalah menjadi satu kesalahan jika seseorang enggan atau tidak memberi penyata atau maklumat itu dalam tempoh dua minggu dari tarikh diterima notis mengkehendakinya berbuat demikian atau dengan diketahuinya membuat sesuatu penyata palsu atau memberi maklumat palsu atau tidak betul atau merintangi, menghalang atau menahan pihak berkuasa tempatan atau seseorang yang dilantik olehnya daripada memasuki, memeriksa atau mengukur mana-mana pegangan itu.

2. Mengikut Seksyen 160 adalah menjadi satu kesalahan tidak memberitahu Majlis bahawa hartanya telah dipindahmilik. Bagi harta yang dijual atau dipindahmilik maka kewajipan penjual atau pemindahmilik dan pembeli/penerima pindahmilik dalam tempoh 3 bulan memberi notis dalam Borang I atau sekiranya pemunya pegangan (harta) meninggal dunia menjadi kewajipan waris memberi notis mengenainya kepada Majlis dalam tempoh 1 tahun selepas kematian.

3. Mengikut Seksyen 161 juga menjadi satu kesalahan sekiranya tidak memberi notis (surat) kepada Majlis sekiranya bangunan dibina semula telah siap/diduduki, bangunan dibina baru telah siap dibesarkan, diubah, dibaiki, diperbaharui atau jika bangunan kosong diduduki semula serta sekiranya bangunan atau sebahagian bangunan telah runtuh atau sesuatu tanah telah diubah syarat/dipecah sempadan.

Kesimpulannya, ada di kalangan orang awam menyatakan bahawa cukai taksiran tidak perlu dubayar kerana tidak mendapat menyeliaan sewajarnya. Untuk menyatakan sedemikian, sama sekali tidak boleh diterima memandangkan wang-wang cukai ini digunakan untuk tujuan pembangunan sebagaimana yang telah saya nyatakan di dalam perkara B. Manakala jika alasan penyeliaan kawasan telah dijalankan oleh pemaju pula, ini merupakan satu isu berasingan kerana ia membabitkan penjanjian di dalam kontrak jual beli di antara pembeli dan pemaju. Sedangkan tanggungjawab pembayar cukai madalah merupakan satu tanggungjawab yang telah digariskan dengan jelas di dalam Akta Kerajaan Tempatan yang mana menyatakan bahawa pembayar cukai pegangan yang dimilikinya telah diwartakan sebagai salah satu kawasan bercukai Majlis.

Demikianlah penjelasan bagi isu yang ditimbulkan khusus buat sekelian pengikut blog JUUP yang setia ini.

Disediakan oleh :







Syamsul Amri bin Hj Ismail, Pengarah Undang-Undang MPN


3 ulasan:

Farhan Ahmad berkata...

Macamana nak bantah cukai taksir MPN yang mahal amat.. Area rumah saya kawasan Pajam tidaklah sebagus mana infrastrukturnya.. RM600++ SETAHUN nilai taksiran yang zalim..

Majlis Pebandaran Shah Alam yang so so infra nya pun masih tak capai RM300 SETAHUN

Farhan Ahmad berkata...

Macamana nak bantah cukai taksir MPN yang mahal amat.. Area rumah saya kawasan Pajam tidaklah sebagus mana infrastrukturnya.. RM600++ SETAHUN nilai taksiran yang zalim..

Majlis Pebandaran Shah Alam yang so so infra nya pun masih tak capai RM300 SETAHUN

Unknown berkata...

Rumah seri pajam takde kualiti.bocor