Selasa, 12 Julai 2011

Lawatan MPN ke Rumah 'Prototype' di Denai Alam

Pada 13 Julai 2011 telah berlangsungnya satu program lawatan oleh Majlis Perbandaran Nilai (MPN). Kali ini lawatan diadakan bertempat di Rumah 'Prototype' yang dihasilkan oleh pihak Sime Darby Property Bhd di Denai Alam, Shah Alam. lawatan ini telah dikendalikan oleh Jawatankuasa Green Technology yang diketuai oleh Puan Norhezlin Amat, Pengarah Jabatan Bangunan MPN. Lawatan ini telah disertai oleh seluruh Ahli Jawatankuasa yang terdiri daripada kakitangan MPN serta beberapa orang Ahli Majlis MPN.

Lawatan ini telah diketuai oleh Tuan Hj Ali bin Luman, Setiausaha MPN. Tidak ketinggalan, lawatan ini turut disertai oleh En Syamsul Amri bin Hj Ismail, Pengarah Undang-Undang MPN (gambar)yang juga merupakan salah seorang daripada Ahli Jawatankuasa Green Technology MPN ini.

Rumah contoh 'prototype' atau Sime Darby Idea House ini merupakan sebuah prototaip kediaman karbon neutral yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara. Konsep kediaman ini telah diilhamkan oleh Jabatan Penyelidikan & Pembangunan Inovasi (R&Di) Sime Darby Property Bhd. Ia merupakan sebuah kediaman prototaip dua tingkat yang menggunakan sepenuhnya rekabentuk teknologi hijau dan senibina mampan. Antara kelebihan Sime Darby Idea House adalah kebolehannya untuk menggunakan teknologi sumber tenaga baharu dan bersih seperti penggunaan kuasa angin dan sel photovoltaic yang mampu menjana rumah dengan meminimumkan penggunaan tenaga.Konsep pembinaan Sime Darby Idea House adalah berdasarkan pembinaan modular yang bermaksud Sime Darby Idea House ini dibesarkan atau dikecilkan dari saiz asalnya dan dipindahkan dari lokasi jika perlu. Ini akan menjimatkan masa pembinaan dan sisa binaan dapat dikurangkan. Malahan dengan kerjasama yang padu daripada kontraktor, jurutera, perancang landskap serta pembekal-pembekal bertauliah, ia bakal menjadi pelopor dalam industri senibina mampan dan akan dapat diaplikasikan di dalam gaya hidup seharian masyarakat Malaysia pada abad ke-21.Kediaman prototaip ini merupakan antara langkah Sime Darby Property Berhad dalam menyahut seruan kerajaan di dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh yang menitikberatkan penggunaan teknologi hijau dan pertumbuhan yang diterajui oleh produktiviti dan inovasi. Usaha pembangunan mampan ini juga selaras dengan hasrat Kerajaan untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 40% menjelang tahun 2020.

Dengan ini tahniah diucapkan kepada Ahli Jawatankuasa Green Technology MPN di atas usaha dan inisiatif program lawatan yang sungguh bermakna ini. Tahniah dan syabas diucapkan!

Disediakan oleh : EDITOR

** Gambar-gambar di sepanjang lawatan diadakan boleh dilihat menerusi folder berikutnya

Tiada ulasan: