Ahad, 3 Oktober 2010

Taklimat Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010

Taklimat Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010
30 September 2010
Bertempat di Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU)
Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya
.
Program ini telah berlangsung mulai jam 2.30 petang hingga ke jam 4.30 petang. Taklimat telah disampaikan oleh En Baharom daripada BHEUU, Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya. Majlis Perbandaran Nilai (MPN) telah diwakili oleh En Syamsul Amri bin Hj Ismail, Pengarah Undang-Undang, MPN.
.
Latarbelakang
.
Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (APPM 2010) telah diluluskan di Parlimen pada 6 Mei 2010. Menteri yang bertanggungjawab ialah YB Dato' Seri Mohammed Nazri Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Akta ini akan dilaksanakan oleh semua Agensi yang mempunyai kuasa penguatkuasaan. Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) adalah merupakan penyelaras dalam perlaksanaan Akta ini.
.
Huraian Akta
.
Akta ini bertujuan untuk membanteras rasuah dan salahlaku lain dalam sektor awam dan swasta. Akta ini menggalakkan dan memudahkan orang awam untuk mendedahkan apa-apa perbuatan rasuan dan salah laku lain yang termasuk di bawah kelakuan tidak wajar di bawah Akta ini. Akta ini memberikan seseorang pemberi maklumat perlindungan maklumat sulit, kekebalan daripada tindakan sivil dan jenayah dan perlindungan terhadap tindakan yang memudaratkan.
.
Akta ini memberi kuasa kepada agensi penguatkuasaan untuk menjalankan penyiasatan terhadap kelakuan tidak wajar dan terhadap aduan tindakan yang memudaratkan dan memberi mahkamah kuasa untuk membuat perintah bagi REMEDI.
.
Tafsiran Penting
.
Agensi Penguatkuasaan : Mana-mana kementerian, jabatan, agensi atau badan lain yang dibentuk oleh Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri atau Kerajaan Tempatan termasuk suatu unit, seksyen, bahagian, jabatan atau agensi kementerian, jabatan, agensi, atau badan itu, yang diberi fungsi penyiasatan dan penguatkuasaan oleh mana-mana undang-undang bertulis atau yang mempunyai kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan.
.
Pemberi Maklumat : Orang yang membuat pendedahan kelakuan tidak wajar kepada agensi penguatkuasaan sama ada secara lisan atau bertulis.
.
Kelakuan Tidak Wajar : Apa-apa kelakuan yang jika terbukti, menjadi suatu kesalahan tatatertib atau kesalahan jenayah.
.
Tindakan Yang Memudaratkan : Tindakan yang menyebabkan kecederaan, kehilangan, atau kerosakan, ugutan atau gangguan, gangguan terhadap pekerjaan sah atau mata pencarian mana-mana orang.
.
Tanggungjawab Agensi Penguatkuasaan
.
* Menerima pendedahan kelakuan tidak wajar
* Menguatkuasakan perlindungan pemberi maklumat
* Menguruskan pendedahan kelakuan tidak wajar
* Menerima aduan tindakan yang memudaratkan
* Menguruskan aduan tindakan yang memudaratkan
* Melaksanakan peruntukan Akta ini
* Mengemukakan laporan secara berkala (dicadangkan 3 kali setahun) kepada agensi penyelaras untuk dilapor kepada YB Menteri
.
Tuntutan Remedi
.
Pemberi maklumat atau sesiapa yang mempunyai hubungan dengan pemberi maklumat boleh menuntut remedi kepada agensi penguatkuasaan dalam tempoh 3 bulan selepas tindakan yang memudaratkan telah diambil terhadapnya atau pada bila-bila masa pemberi maklumat bimbang bahawa tindakan yang memudaratkan akan diambil terhadapnya.
.
Remedi yang boleh dipohon adalah dalam bentuk :
.
* Gantirugi atau pampasan;
* Injunksi; atau
* Apa-apa relif lain yang difikirkan patut oleh mahkamah
.
Berikut dikongsikan beberapa gambar yang diambil ketika Taklimat ini berlangsung:
.
Penceramah BHEUU menyampaikan taklimat berkaitan APPM 2010 Suasana di dalam Dewan Taklimat
Dewan ini dipenuhi oleh pegawai-pegawai yang terlibat yang terdiri dari pelbagai agensi
Suasana dari suatu sudut dewan
.
.
.
Disediakan oleh : EDITOR

Tiada ulasan: