Rabu, 28 Januari 2009

Perhimpunan Pagi MPN (Januari 2009)

Perhimpunan Pagi Bagi Bulan Januari

Majlis Perbandaran Nilai

29 Januari 2009

Satu Majlis Perhimpunan Pagi telah diadakan pada 29 Januari 2009 bertempat di Bilik Gerakan, MPN pada jam 8.00 pagi. Majlis ini turut dihadiri oleh Y.Bhg Dato Hj Abd Halim bin Hj Abd Latif (Yang DiPertua MPN) serta Yg Berusaha Tuan Hj Ali bin Luman (Setiausaha, MPN). Bagi membuka tirai perhimpunan pagi 2009 ini, Perhimpunan Pagi bagi bulan Januari telah dikelolakan oleh Jabatan Landskap, MPN.
En Nasiruddin ketika menyampaikan Ucapan.
Dato YDP, Setiausaha dan Ketua-Ketua Jabatan yang turut mendengar ucapan En Nasir
Di antara kakitangan yang berkesempatan hadir ke Perhimpunan Pagi Januari 2009
En Nasiruddin Ab Rahman selaku Ketua Jabatan telah mengambil inisiatif menyampaikan ucapan di bawah tajuk "Terima Kasih". Berikut adalah teks ucapan beliau:


"Bismillahirrahmanirrahiim, terima kasih saudari Pengerusi Majlis, YBhg Dato Hj Abd Halim bin Hj Abd Latif, Yang DiPertua Majlis Perbandaran Nilai, Yang Berusaha Tuan Hj Ali bin Luman, Setiausaha Majlis Perbandaran Nilai, Yang dihormati Ketua-Ketua Jabatan, Tuan-Tuan warga MPN yang dirahmati Allah. Assalamulaikum Warahmatullahiwabarakatuh. Kepada rakan-rakan kita yang berbangsa Tionghua, Kak Wong, En Leon Keng Yen, Cik Lai Sin Yee tidak terlewat kiranya untuk saya mengucapkan Gong Xi Fa Chai. Dan kepada kesemua warga MPN saya tidak terlupa untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru 2009 ini. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih buat semua yang sudi hadir ke perhimpunan pagi pada hari ini. Dan terima kasih juga buat semua yang sudi mendengar ucapan saya. Terima kasih kepada Tuhan yang sentiasa mengalirkan ilmu pengetahuan kepada saya. Dan terima kasih kerana hari ini saya dan kita semua masih boleh berada di bumi Tuhan yang makmur ini.

TERIMA KASIH
. Itulah topik utama yang ingin saya kongsi bersama-sama dengan anda semua pada pagi ini. Kenapa kita mengucapkan terima kasih? Kerana terima kasih adalah satu kuasa yang boleh menarik energi positif ke dalam kehidupan kita setiap hari. Sebenarnya terima kasih mempunyai konsep yang hampir sama dengan konsep kesyukuran. Kerana itu, ucapan terima kasih mempunyai kuasa positif yang sangat kuat jika diamalkan dengan ikhlas. Cuba anda bayangkan, apabila segala usaha-usaha dan penat lelah anda bekerja di pejabat dihargai oleh bos anda? Rasa-rasanya semakin kuat anda bekerja dan semakin gembira anda datang ke tempat kerja anda? Tetapi hari ini, perkataan terima kasih semakin sukar untuk dilafazkan sesama manusia. Semakin ramai orang yang kedekut dengan lafaz tersebut. Jika diucapkan pun tak tahu tahap mana keikhlasan orang tersebut. Kita makin susah hendak mengucapkan terima kasih kepada Allah, pada pasangan kita, pada kedua ibu bapa kita, kepada ahli keluarga kita, pada sahabat-sahabat kita dan kepada orang sekeliling yang banyak membantu kehidupan kita.
Cuba kita kira setiap hari berapa kali kita mengucapkan terima kasih pada tuhan yang menguasai alam semesta ini? Cuba anda fikir, pernahkah kita mengucapkan terima kasih kepada alam, kepada tumbuh-tumbuhan, pada haiwan-haiwan, pada serangga-serangga kecil dan segala kejadian Tuhan yang lain. Apa yang saya perkatakan ini mungkin pelik dan sukar dimengertikan. Tidak mengapalah.... hari ini untuk pengetahuan anda semua, bencana alam dan perkara-perkara pelik alam sekeliling dunia yang semakin kerap berlaku seperti tsunami, gempa bumi, ribut taufan, panas terik yang melampau, banjir besar di kawasan-kawasan yang tidak pernah dilanda banjir dan pelbagai lagi bencana yang kerap melanda dunia adalah salah satu sebabnya kerana manusia semakin lupa mengucapkan terima kasih kepada alam sekeliling. Tahukah anda jika tanpa tumbuh-tubuhan dan pokok-pokok di dunia ini, siapakah yang akan menyerap Karbon Dioksida yang manusia keluarkan setiap saat? Tahukah anda bagaimana haiwan-haiwan tertentu seperti katak, serangga kecil adalah sebagai pengimbang ekosistem alam sekitar? Tahukah anda jika tanpa rumput rumpai, alga, dan plankston di laut, ikan-ikan yang menjadi bahan pemakanan manusia dan semua kehidupan akan lenyap dari muka bumi ini?

Manusia bukan sahaja lupa mengucapkan terima kasih, tetapi malahan merosakkan dan memusnahkan banyak alam-alam kehidupan yang tidak disedari oleh manusia itu sendiri. Manusia memusnahkan bukit-bukau, hutan-hutan dan tumbuh-tumbuhan. Manusia membuang banyak toksid-toksid di muka bumi ini, manusia melepaskan pelbagai gas dan bahan kimia di udara dan sebagainya. Apakah ini tanda terima kasih manusia kepada alam?
Sudah tentu bukan itu tandanya! Kerana itu, jika anda tidak dapat mengucapkan terima kasih kepada alam rasa-rasanya paling kurang pun, anda mesti mengucapkan terima kasih kepada Pencipta dan Empunya alam itu. Itulah Tuhan penguasa sekelian alam semesta. Di sini saya ingin berkongsi dengan anda semua satu bibit lagu puisi yang menggambarkan apa yang saya perkatakan.

Mengapa di tanahku terjadi bencana,
Mungkin Tuhan mulai bosan,

Melihat tingkah kita,
Yang selalu salah dan bangga,
Dengan dosa-dosa,
Atau alam mulai enggan,
Bersahabat dengan kita,

Coba kita bertanya pada,
Rumput yang bergoyang...

Di akhir kata, saya ingin memetik falsafah yang diilhamkan oleh Mahatma Gandhi (Negarawan Ulung India) untuk renungan kita bersama: "Bumi ini bukan warisan nenek moyang kita, tetapi kita pinjam dari anak-cucu kita". Ungkapan yang memberi seribu makna yang tersirat jika kita hayati dengan penuh mendalam dan teliti.



Dengan itu, Wabillahil Taufiq Wal Hidayah Wassallamualaikum Warhamatullahi Wabarakatuh. Terima kasih".
En. Nasiruddin bin Ab Rahman merupakan Pengarah di Jabatan Landskap, MPN.

- Editor -

Tiada ulasan: