Khamis, 9 Jun 2011

Menteri Besar Negeri Sembilan : Anak Yatim Jangan Rasa Tersisih Dan Terpinggir.



NILAI : 6 Jun - Majlis Tilawah Al-Quran & Nasyid (MTQN) Kali Ke-17 PEYATIM Peringkat Kebangsaan & ASEAN buat pertama kali telah dianjurkan pada tahun ini oleh Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia ( PEYATIM ) dengan kerjasama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan ( MAINS ).


Ramai peserta dari negara Asean telah turut hadir dalam majlis yang pertama kali dianjurkan ini yang bermula pada 5 hb Jun sehingga 9 Jun 2011 bertempat di Stadium Tertutup Nilai, Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan.


Majlis ini dirasmikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan. Hampir 3000 orang yang majoritinya adalah anak-anak yatim seluruh Malaysia dan jiran Asean telah mengambil bahagian dalam majlis yang meriah ini.


Menteri Besar dalam ucapan beliau menyeru agar anak-anak yatim dan penghuni rumah kebajikan jangan merasakan diri mereka tersisih dan terpinggir sehinggakan menganggap masa depan mereka tidak secerah yang diharapkan semata mata kerana menghadapi musibah dalam kehidupan.


Sebaliknya beliau berharap agar semua dapat menerimanya sebagai sebagai takdir dan ujian dari Allah SWT.


Ambil iktibar yang seluas-luasnya dan manafaatkan waktu dan segala sumber yang ada. Beliau juga berharap agar mereka harus bertindak bijak menempatkan diri pada landasan yang terpuji dengan menguasai cabang-cabang ilmu bagi membentuk masa depan yang terjamin.


Janganlah menganggap diri mereka sebagai anak yatim adalah satu kekurangan kerana Nabi Muhamad SWT juga adalah anak yatim namun baginda telah berjaya menjadi seorang pemimpin yang baik. Kerajaan telah membuat satu pembahagian dan tumpuan bersama-sama dengan NGO kepada nasib anak-anak yatim.


Dalam satu sidang akhbar selepas perasmian beliau mengajak orang ramai untuk bersama-sama memberikan sumbangan kepada anak-anak yatim. Surau dan masjid perlu memainkan peranan yang penting untuk membantu anak-anak yatim dan orang ramai dapat memberikan sumbangan kepada surau dan masjid kita yang memainkan peranan membantu mereka.


Turut Hadir ialah Dato’ Dr Tengku Mahmud B. Mansur.Presiden PEYATIM merangkap Pengerusi bersama Jawatankuasa Induk Majlis.


Disediakan oleh : EDITOR

Tiada ulasan: