Isnin, 9 Mac 2009

Sambutan Maulidur Rasul 1430 Hijrah / 2009 Miladiyah

Satu Sambutan Maulidur Rasul peringkat Negeri Sembilan telah diadakan bersempena menyambut Hari Ulangtahun Kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW. Sambutan tahun 2009 ini telah diadakan di Seremban.

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir mengetuai lebih 9,000 peserta perarakan Maulidul Rasul peringkat negeri di padang Majlis Perbandaran Seremban di sini pagi ini.

Sebanyak 62 kontinjen daripada jabatan dan agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan swasta serta orang ramai menyertai perarakan mengelilingi bandar ini sambil membawa sepanduk dan berselawat.

Terdahulu, Tuanku Muhriz dalam titahnya menyeru umat Islam di negeri ini supaya berazam menjadi anggota masyarakat yang beriman, berilmu dan berkemahiran serta taat menyempurnakan ajaran Islam dan juga sunah Rasulullah.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan pula mengingatkan umat Islam supaya memainkan peranan yang membina dan mengekalkan keimanan serta nilai kerohanian dan persaudaraan sejati agar dapat menyumbang secara positif kepada pembangunan ummah.

Kontinjen Majlis Perbandaran Nilai dan Majlis Perbandaran Seremban pula telah diketuai oleh Dato Hj Abd Halim bin Hj Abd Latif (Yang DiPertua, MPN). Kontinjen MPN dibarisi oleh lebih kurang 120 orang.
Gambar yang dirakamkan dari Bangunan MPS menunjukkan sebahagian ahli kontinjen daripada keseluruhan 9,000 orang yang menyertai perarakan bersempena Sambutan Maulidur Rasul 1430 Hijrah.


- Editor -

Tiada ulasan: