Isnin, 9 Mac 2009

Tokoh Maal Hijrah 1430 H, Negeri Sembilan Darul Khusus

SEREMBAN 7 Mac - Jasa tokoh agama, Datuk Borhan @ Berhan Hashim, 72, membimbing serta mendidik masyarakat dalam kefahaman al-Quran mendapat pengiktirafan apabila dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Sembilan 2009.



Borhan juga terpilih menerima anugerah itu selepas kegigihannya yang masih aktif mengadakan kuliah, ceramah dan kelas di jabatan kerajaan dan masjid-masjid walaupun pada usia tersebut.


Anugerah tersebut telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada majlis Menghafaz al-Quran, Pelancaran Bulan Dakwah & Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Sembilan di sini malam tadi.


Selain menerima sijil penghargaan, Borhan turut menerima RM10,000, sehelai jubah dan pakej menunaikan umrah.


Borhan yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Fatwa, Ahli Majlis Agama Islam dan Ahli Jawatankuasa Tauliah Mengajar Agama negeri berkata, anugerah tersebut akan menjadi perangsang dan pendorong diri beliau untuk terus memperluaskan aktiviti bimbingan al-Quran.


''Syukur ke hadrat Ilahi dan terima kasih kepada semua pihak di atas penghargaan ini," kata beliau selepas penyerahan anugerah itu yang diadakan di Pusat Dakwah Islamiah, Paroi.


Borhan yang terkenal dengan pendekatan menggunakan medium bahasa Melayu bagi mempermudahkan kefahaman al-Quran dalam kalangan pelajarnya memberitahu, penggunaan bahasa ibunda merupakan jalan terbaik untuk membantu umum mengenali isi kandungan al-Quran dengan mudah.


''Pembelajaran serta memahami al-Quran akan menjadi lebih mudah sekiranya kita menggunakan bahasa sendiri dan kalau kita lihat, banyak negara maju seperti China dan Rusia telah menyelaraskan teknik menggunakan bahasa masing-masing dalam mengenali al-Quran dengan lebih dekat".


''Saya menyeru kepada umum agar tidak sekadar membaca al-Quran tanpa mengenali erti dan maksud kandungannya kerana selain boleh dijadikan pegangan hidup, ia turut membantu seseorang itu untuk menjadi insan yang berkualiti dari segala aspek," jelasnya. 


Turut berangkat pada majlis itu ialah Permaisuri Baginda, Tengku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.
Turut hadir Undang Yang Empat, Undang Luak Jelebu, Datuk Musa Wahab; Undang Luak Rembau, Datuk Muhamad Sharip Othman; Undang Luak Johol, Datuk Mohd. Jan Abdul Gani; Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Mubarak Dohak.


Turut hadir Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al Qadri; Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan isteri, Datin Seri Raja Salbiah Tengku Nujumudin serta Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, ketua-ketua jabatan dan pemimpin masyarakat.


Kehadiran Kakitangan MPN pula diketuai oleh Dato Hj Abd Halim bin Hj Abd Latif (Yang DiPertua) serta Tuan Hj Ali bin Luman (Setiausaha MPN)
Antara orang ramai yang hadir termasuk Kakitangan MPN
Kesemua hadirin mendengar ucapan yang disampaikan oleh YB Pegawai Kewangan Negeri, En Razak selaku Pengerusi Bertindak Program.
Titah yang disampaikan oleh DYMM Tuanku Mukhriz (Yang DiPertuan Besar, Negeri Sembilan)mendapat perhatian rakyat jelata yang hadir
Ini merupakan majlis rasmi pertama Baginda sejak dimasyhurkan sebagai Yang DiPertuan Besar pada Disember 2008 yang lalu.
Majlis ini dijalankan bersempena Majlis Menghafaz Al-Qur'an serta Majlis Pelancaran Bulan Dakwah tahun 1430 Hijrah
Wajah Pemimpin Nombor Satu Negeri dipaparkan di Layar Skrin.
Borhan@Berhan Hashim melihat sijil Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Sembilan 2009 yang diterima sambil diperhatikan oleh isterinya, Siti Sawiah Sail di Dewan Besar Pusat Dakwah Islamiah Negeri Sembilan pada 7 Mac 2009.

Tiada ulasan: